Penerima Anugerah Pelajaran DiRaja Kongsi Rahsia Kejayaan


Oleh: Muhammad Zaim Badrul Hisham

Foto: Pusat Komunikasi Korporat UKM

BANGI, 28 Oktober 2017 – Displin membahagikan masa serta partisipasi secara aktif dalam kelas adalah kunci utama kejayaan dua penerima Anugerah Pelajaran DiRaja, Abdul Aziz Ramlee Sau dan Choo Wen Chun pada Sidang Canselor Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia kali ke-45, di sini.

Anugerah Pelajaran Diraja dikurniakan kepada siswa yang menunjukan kecemerlangan pada bidang akademik, kegiatan kokurikulum serta mempunyai ciri-ciri kempimpinan dan sifat- sifat keperibadian yang tinggi malah sedia menyumbang bakti kepada masyarakat.

Abdul Aziz Ramlee Sau, 22, graduan Ijazah Sarjana Muda Sains (Bioteknologi Tumbuhan) di Fakulti Sains dan Teknologi merupakan pelajar yang cemerlang sejak di bangku sekolah lagi, malah ketika di kampus, setiap semester beliau memperolehi Anugerah Dekan.

Anak kelahiran negeri Melaka ini ternyata bukan hanya semata-mata cemerlang dalam bidang akademik, malah turut aktif di luar kuliah.

Meskipun membesar tanpa sokongan ayahanda tercinta disisi, beliau tidak pernah merasa pemergian ayahandanya sebagai pelemah semangat tetapi sebaliknya penguat bagi membalas segala keringat dan jasa ibundanya.

Abdul Aziz juga satu-satunya dalam kalangan adik beradik yang berpeluang menyambung pelajaran diperingkat ijazah sarjana muda dan berhasrat menyambung pelajaran diperingkat doktor falsafah di University of Western Australia

Sementara itu bagi Choon Wen Chun, 24, graduan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di Fakulti Undang-Undang mendapat inspirasi melalui kedua-dua kakaknya yang merupakan graduan undang-undang lalu mendorong beliau menceburi bidang ini.

Menurut beliau, antara cabaran besar sebagai seorang pelajar adalah menguruskan masa.

“Kita perlu cemerlang dalam bidang akademik & kokurikulum, dan fokus dalam pelajaran kerana hari ini persaingan sangat dahsyat memerlukan graduan untuk cemerlang dalam pelbagai aspek,” ujarnya.

Choo Wen Chun kini menjalani latihan dalam kamar di Firma Guaman Lee Hishammuddin bagi merealisasikan impiannya menjadi peguam.