Lensa Kongkoi: Keberanian Pustakawan UKM Menyusuri Survival dan Jati Diri
Oleh: Siti Wahida Amanullah

Meninggalkan seketika keselesaan ruang bekerja di perpustakaan, seramai 45 orang pegawai Perpustakaan UKM melangkah bersemangat menuju ke kehijauan hutan Kem Kongkoi pada 15 hingga 16 Mei 2024. Program Kepimpinan dan Pembangunan Profesional yang julung kali diadakan dengan kerjasama Pusat Kepimpinan dan Pembangunan Profesional (PKPP) UPNM ini menjadi medan transformasi buat setiap peserta.
Di bawah pimpinan Kol. Dr. Haji Zahimi Zainol Abidin (B), Pengarah PKPP, modul program ini dibangunkan khusus untuk mengasah kualiti kepimpinan serta memperkukuh jati diri melalui pendekatan latihan ketenteraan yang berdisiplin namun tetap sarat dengan nilai ukhuwah.
Ujian Keserasian dan Naluri Survival
Program dimulakan dengan sesi ice-breaking yang menguji ketajaman minda melalui aktiviti ‘Pena Bersarang’, ‘Jangan Basahkan Aku’ dan ‘Transfer Hula Hoop’. Suasana kian mencabar apabila slot ‘Survival’ mengambil tempat. Di sini, kentalnya semangat pustakawan diuji melangkaui kebiasaan tugas harian.
Aspek survival sebenar ditonjolkan melalui proses penyembelihan ayam, pembersihan, sehinggalah penyediaan bahan masakan. Pengalaman menyembelih sendiri ini bukan sahaja menguji keberanian fizikal, malah mencerminkan kesediaan kami untuk berdikari dan tenang dalam menghadapi situasi sukar.
Aktiviti rewang untuk menyediakan makan malam diteruskan dengan gandingan bahu semua ahli, menghasilkan menu kreatif seperti Ayam Merah Fabulous Five, Sambal Kicap Berdesing, Ayam Berempah Kasih Sayang, Sambal Tempe Senduk Bulat dan Air Sirap Limau Kongkoi. Momen makan malam tersebut terasa sangat bermakna kerana setiap suapan adalah hasil keberanian dan sinergi kumpulan yang memastikan tugasan diselesaikan dengan sempurna.



