The International Conference on Libraries (ICOL)

Dalam dunia yang bergerak pantas dengan perkembangan teknologi dan transformasi digital, peranan perpustakaan terus berkembang seiring dengan perubahan keperluan masyarakat. Perkara ini menjadi antara fokus utama The International Conference on Libraries (ICOL) 2025 yang berlangsung pada 23 hingga 24 September 2025 di Plenitude Grand Ballroom, Ascott Gurney Hotel, Pulau Pinang.

Dianjurkan oleh Perpustakaan Universiti Sains Malaysia (USM) dengan sokongan Persatuan Pustakawan Malaysia (PPM), ICOL 2025 merupakan edisi ketujuh dan turut meraikan ulang tahun ke-20 penganjurannya sejak diperkenalkan pada tahun 2005. Bertemakan “Towards Sustainable Future Libraries”, persidangan ini menghimpunkan 116 peserta daripada komuniti kepustakawanan dan pengurusan maklumat dari dalam dan luar negara, dengan sokongan 56 Ahli Jawatankuasa bagi memastikan kelancaran program.

Perpustakaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut mengambil bahagian secara aktif melalui pembentangan kertas kerja bertajuk “Innovative Digital Archiving for Knowledge Sustainability: The Development of e-ReP 2.0”. Penyertaan ini mencerminkan komitmen UKM dalam berkongsi inovasi dan pengalaman berkaitan pengurusan serta pemeliharaan pengetahuan dalam era digital.

Tema “Towards Sustainable Future Libraries” menekankan keperluan perpustakaan untuk mengadaptasi teknologi, amalan dan strategi yang menyokong kelestarian dari aspek alam sekitar, sosial dan ekonomi. Antaranya termasuk pengdigitalan, kecerdasan buatan (AI), perkomputeran awan, penggunaan tenaga boleh diperbaharui serta pembangunan perkhidmatan yang lebih cekap dan mudah diakses.

Secara keseluruhannya, ICOL 2025 menjadi platform perkongsian ilmu dan pengalaman dalam memperkukuh peranan perpustakaan sebagai institusi dinamik yang menyokong pembelajaran, penyelidikan, inovasi dan pembangunan mampan selaras dengan perkembangan teknologi serta keperluan masyarakat semasa.

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *