LSP55: Di Sebalik Ribuan Langkah Warga Perpustakaan UKM
Demam Briskwalk

Aplikasi Google Fit tiba-tiba menjadi aplikasi paling popular dan ‘teman setia’ ramai peserta. Dari aktiviti berjalan santai di kawasan kampus, brisk walk selepas waktu kerja, hinggalah sesi treadmill di rumah, setiap langkah memberi makna yang besar. Paling meriah adalah suasana selepas waktu pejabat. Kawasan sekitar kampus UKM bertukar ceria apabila kumpulan-kumpulan kecil mula kelihatan membuat aktiviti brisk walk. Masing-masing ada strategi tersendiri, ada yang memilih laluan mencabar mendaki bukit, ada yang selesa brisk walk di trek landai, dan tidak kurang juga yang memilih mengelilingi stadium. Aktiviti ini akhirnya bertukar menjadi rutin baharu yang paling dinanti-nantikan setiap petang.
Apa yang paling melucukan adalah gelagat sesama ahli kumpulan. Usikan, sakat-menyakat mula meletus menuntut komitmen rakan sepasukan demi target bersama. Namun, usikan itulah yang menjadi pembakar semangat. Segala sindiran mesra dan gurauan harian inilah yang akhirnya menjadi warna-warni indah yang menceriakan lagi diari LSP55.
Kumpulan WhatsApp LSP55 yang diwujudkan pula tidak pernah sunyi dengan perkongsian gambar-gambar menarik sepanjang sesi berjalan kaki, membuatkan interaksi antara peserta menjadi lebih ceria. Lebih mencuit hati, semangat menambah langkah ini tidak terhenti di luar pejabat sahaja. Di dalam pejabat pun, ada peserta yang dilihat ‘rajin’ berjalan ulang-alik, sanggup memilih laluan paling jauh dan naik turun tangga semata-mata kerana ingin menambah kiraan langkah. Semuanya kreatif mencuri peluang demi memastikan sasaran langkah harian mereka tercapai.
LSP55 Sihat Secara Menyeluruh
Apa yang menjadikan LSP55 lebih istimewa ialah kepelbagaian aktivitinya. Program ini tidak terhad kepada cabaran langkah semata-mata. Dalam usaha membentuk gaya hidup sihat secara menyeluruh, peserta turut mengikuti Ceramah Pemakanan dan Diet yang disampaikan oleh Pegawai Sains Pemakanan, Klinik Kesihatan Bangi yang penuh dengan perkongsian berguna tentang kepentingan pemakanan sihat serta cara memilih diet yang lebih seimbang dalam kehidupan seharian.
Aktiviti Fun Walk @ Taman Botani UKM pula memberi pengalaman berbeza apabila peserta bukan sahaja berjalan bersama, malah berpeluang mengenali tumbuhan di sekitar kampus UKM dalam suasana santai dan menyeronokkan.
Suasana LSP55 terus menjadi lebih rancak apabila para peserta berkumpul di Stadium UKM bagi menyertai sesi senamrobik yang penuh tenaga dan semangat. Aktiviti yang dikendalikan oleh instruktur senamrobik berpengalaman itu berjaya membakar motivasi peserta menerusi gerakan yang dinamik serta iringan muzik yang menceriakan suasana.

Namun, antara aktiviti yang paling mencuri perhatian sudah tentu sesi aquarobic di Kolam Renang Kelab Golf Danau UKM. Ia adalah satu pengalaman baharu yang julung kali diperkenalkan dalam program anjuran perpustakaan. Lebih eksklusif, sesi ini telah dikendalikan khas oleh jurulatih bertauliah yang dilantik bagi memastikan setiap pergerakan dilakukan dengan betul, selamat, dan bertenaga. Dilaksanakan dalam dua sesi berasingan bagi peserta lelaki dan perempuan, aktiviti ini ternyata memberikan pengalaman pertama yang cukup bermakna kepada kebanyakan peserta. Tidak seperti senaman biasa, aquarobic menggabungkan pergerakan senaman di dalam air yang sangat menyeronokkan. Kehadiran jurulatih yang begitu sporting juga berjaya menghidupkan suasana sehinggakan ramai peserta menyifatkannya sebagai pengalaman yang menarik, unik, dan berharap agar ia dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.

