Memperkasa Jaringan Kepustakawanan Serantau: Penglibatan Perpustakaan UKM dalam CONSAL XIX Malaysia 2025
Oleh Liyana Jasman dan Qurratul Syaheera Ahmad Termizi
Warga Perpustakaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah memainkan peranan aktif dalam menjayakan 19th Congress of Southeast Asian Librarians (CONSAL XIX) Malaysia 2025 yang berlangsung pada 16–17 Jun 2025 di World Trade Centre (WTC), Kuala Lumpur. Persidangan dwitahunan berprestij ini menghimpunkan pustakawan, profesional maklumat, ahli akademik serta pengamal industri dari seluruh Asia Tenggara bagi berkongsi pengetahuan, pengalaman dan perkembangan terkini dalam bidang kepustakawanan dan sains maklumat.
Persidangan yang dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia, mengangkat tema “Inclusive Knowledge: Bridging Divides, Empowering All”. Tema ini mencerminkan kepentingan akses ilmu yang inklusif, usaha merapatkan jurang pengetahuan serta pemerkasaan masyarakat melalui peranan perpustakaan sebagai pusat ilmu dan pemangkin pembangunan.
Penglibatan Aktif Warga Perpustakaan UKM dalam Jawatankuasa Penganjuran
Selain menyertai persidangan sebagai delegasi, warga Perpustakaan UKM turut memainkan peranan aktif dalam menjayakan penganjuran CONSAL XIX Malaysia 2025 melalui penglibatan dalam beberapa jawatankuasa. Sumbangan ini melibatkan aspek pengurusan, penyelarasan dan pelaksanaan persidangan seperti berikut:
Senarai warga Perpustakaan UKM yang terlibat dalam jawatankuasa penganjuran:
- Jawatankuasa Kertas Persidangan – Encik Azlan Mohd Hamzah
- Jawatankuasa Penerbitan – Puan Siti Wahida Amanullah
- Jawatankuasa Kecil Pelaporan – Cik Noor Farhana Mohd Salleh
- Jawatankuasa Kecil Pengurusan Sesi – Puan Liyana Jasman dan Puan Qurratul Syaheera Ahmad Termizi
Penglibatan warga Perpustakaan UKM dalam pelbagai jawatankuasa ini mencerminkan kepercayaan terhadap kepakaran, pengalaman dan profesionalisme mereka dalam bidang kepustakawanan. Pada masa yang sama, penyertaan ini memberi peluang untuk memperluas pengalaman pengurusan persidangan, memperkukuh kemahiran profesional serta meningkatkan keterlihatan Perpustakaan UKM dalam jaringan kepustakawanan di peringkat serantau.



Memperluas Jaringan, Memperkaya Pengalaman Profesional
Penyertaan delegasi Perpustakaan UKM dalam CONSAL XIX Malaysia 2025 merupakan peluang berharga untuk menimba pengetahuan, berkongsi pengalaman serta mengikuti perkembangan dan trend terkini dalam bidang kepustakawanan dan sains maklumat. Persidangan ini turut menyediakan platform bagi memperluas jaringan profesional, menjalin hubungan kerjasama dengan komuniti perpustakaan serantau serta meneroka amalan terbaik dan inovasi dalam penyampaian perkhidmatan perpustakaan. Delegasi Perpustakaan UKM yang menyertai persidangan ini terdiri daripada:
- Encik Hazmir Haji Zainal (Ketua Pustakawan)
- Encik Shamsudin Ibrahim
- Puan Shaizimah Badzri
- Encik Mohd Nur Hamdani Mohd Nor Azni
- Puan Fatimah Kamilah Awang
- Puan Rusiah Husin
- Puan Amirah Hafzhan Ismail
Penyertaan dalam CONSAL XIX membuka ruang kepada warga Perpustakaan UKM untuk mengikuti perkembangan terkini dalam bidang kepustakawanan dan sains maklumat, bertukar pandangan serta berkongsi amalan terbaik bersama rakan profesional dari negara-negara Asia Tenggara. Platform ini turut memberi peluang untuk membina jaringan kerjasama strategik dan meneroka pendekatan baharu dalam penyampaian perkhidmatan perpustakaan. Secara tidak langsung, penglibatan ini turut memperlihatkan komitmen Perpustakaan UKM untuk terus relevan, progresif dan berdaya saing seiring dengan perkembangan landskap kepustakawanan di peringkat serantau dan antarabangsa.
Secara keseluruhannya, penglibatan warga Perpustakaan UKM dalam CONSAL XIX Malaysia 2025 bukan sahaja memperkaya pengalaman dan pengetahuan profesional, malah mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam memperkukuh budaya perkongsian ilmu, inovasi dan kecemerlangan perkhidmatan perpustakaan. Pengalaman serta pendedahan yang diperoleh diharapkan dapat dimanfaatkan bagi menyokong transformasi perkhidmatan Perpustakaan UKM agar terus relevan, inklusif dan berdaya saing dalam memenuhi keperluan komuniti universiti dan masyarakat.

