Program Jalinan dan Jaringan Pusat Sumber Al Ilmi Kolej Vokasional Klang, bersama Perpustakaan Tun Seri Lanang, UKM





BANGI, 15 Oktober 2026 – Perpustakaan Tun Seri Lanang (PTSL), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menerima kunjungan daripada Pusat Sumber Al Ilmi, Kolej Vokasional Klang menerusi Program Jalinan dan Jaringan yang berlangsung pada Khamis, bertempat di Aras 3, Perpustakaan UKM.
Program yang berlangsung dari pukul 8.30 pagi hingga 1.00 petang itu bertujuan memberikan pendedahan kepada para peserta mengenai peranan perpustakaan, kerjaya profesional dalam bidang kepustakawanan dan pengurusan maklumat, serta asas pemeliharaan dan pemuliharaan bahan perpustakaan.
Antara pengisian program ialah perkongsian berkaitan perbezaan antara pemeliharaan dengan pemuliharaan bahan perpustakaan, kaedah penjagaan bahan yang bersesuaian serta pendedahan kepada kemahiran asas pembaikan kecil (minor repair) bagi bahan perpustakaan.
Pelaksanaan program ini diharapkan dapat memperluas pengetahuan dan meningkatkan kefahaman peserta mengenai pengurusan bahan perpustakaan, di samping memberikan pendedahan kepada amalan penjagaan koleksi yang bersesuaian.
Program jalinan dan jaringan ini turut menyokong usaha Kolej Vokasional Klang dalam memperkukuh pengurusan pusat sumber, meningkatkan kompetensi warga sekolah serta memenuhi keperluan pembangunan kualiti pendidikan melalui penambahbaikan berterusan.
Diharapkan perkongsian ilmu dan pengalaman menerusi program ini dapat mengeratkan hubungan kerjasama antara PTSL, UKM dengan Pusat Sumber Al Ilmi, Kolej Vokasional Klang, sekali gus membuka ruang kepada perkongsian kepakaran dan amalan terbaik dalam bidang kepustakawanan serta pengurusan maklumat.