30.9.2026 – UMBI-KPJ Teroka Kerjasama Strategik ‘Precision Medicine’ dan Genomik

KUALA LUMPUR, 30 September 2026 – Institut Biologi Molekul Perubatan UKM (UMBI) menerima kunjungan kepimpinan tertinggi Johor Corporation (JCorp), KPJ Healthcare dan KPJ University untuk meneroka kerjasama strategik dalam precision medicine, genomik, diagnostik molekul dan inovasi kesihatan.
UMBI mempunyai pengalaman luas dalam penyelidikan berskala besar merangkumi bidang genomik, kanser, diabetes, obesiti, penyakit kardiovaskular, penyakit jarang jumpa, mikrobiom dan aplikasi kecerdasan buatan (AI) dalam kesihatan.
Antara kekuatan utama UMBI ialah The Malaysian Cohort (TMC), Biobank UMBI dan The Malaysian Pangenome, yang diketuai oleh Profesor Datuk Dr. A Rahman A Jamal, selain kemudahan penjujukan genom serta kepakaran dalam genomik, proteomik, metabolomik, bioinformatik, dan diagnostik molekul. Gabungan Big Data, biospesimen dan kepakaran ini menyediakan asas yang kukuh untuk pembangunan precision medicine yang relevan kepada populasi Malaysia.



Kerjasama dengan KPJ Healthcare dan KPJ University membuka peluang untuk mempercepatkan laluan “bench-to-bedside”, iaitu menterjemahkan penemuan penyelidikan dan teknologi molekul kepada aplikasi klinikal yang memberi manfaat secara langsung kepada pesakit. Dengan rangkaian 29 hospital dan kepakaran klinikal yang luas, KPJ mempunyai platform yang mantap untuk validasi biomarker, kajian klinikal, pembangunan ujian diagnostik molekul serta pelaksanaan Precision Medicine dalam amalan klinikal.
Antara potensi yang boleh diterokai termasuk pembangunan dan penawaran ujian diagnostik molekul yang berkualiti, berasaskan bukti dan lebih mampu milik, khususnya bagi penyakit kanser, penyakit metabolik, penyakit kardiovaskular, penyakit genetik dan penyakit kronik lain.


Kekuatan kedua-dua institusi saling melengkapi. KPJ Healthcare mempunyai rangkaian hospital, pesakit dan kekuatan kepakaran klinikal. UMBI mempunyai data raya, biobank yang komprehensif, teknologi dan kepakaran bidang sains dan biologi molekul. Gabungan ini berpotensi mewujudkan satu ekosistem lengkap, daripada data dan biospesimen kepada penemuan biomarker, validasi klinikal, penghasilan kit diagnostik dan akhirnya perlaksanaan dalam penjagaan pesakit.
Kunjungan ini melibatkan Pengerusi JCorp, Dato’ Syed Mohamad Syed Ibrahim; Ketua Pegawai Eksekutif KPJ Healthcare, Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid; serta Naib Canselor KPJ University, Prof. Dr. Tunku Kamarul Zaman Tunku Zainol Abidin. Manakala pihak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) diwakili oleh Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Dr. Sufian Jusoh; Pro-Naib Canselor UKM Kampus Kuala Lumpur, Prof. Dato’ Razman Jarmin; Felo Utama UMBI, Prof. Datuk Dr. A Rahman A Jamal; serta Pengarah UMBI, PM Dr. Nor Azian Abdul Murad.



Kerjasama UMBI-KPJ ini berpotensi menjadi model perkongsian awam-swasta dalam precision medicine yang boleh memberi impak pada peringkat kebangsaan. Matlamat akhirnya adalah jelas – membawa hasil penyelidikan lebih dekat kepada pesakit dan menjadikan precision medicine lebih mudah diakses, relevan kepada populasi Malaysia dan lebih mampu digunakan untuk semua lapisan masyarakat termasuk B40.
—
Pautan Facebook
Pautan LinkedIn
—
SDG 3 | SDG 16 | SDG 17 – Diseases, Health, Wellbeing, Quality of Life, Strong institutions, Global partnership, Knowledge sharing