KANSER DAN PERADABAN : BUKTI DARI TAMADUN MESIR KUNO
SIRI 1
KANSER DAN PERADABAN : BUKTI DARI TAMADUN MESIR KUNO
Oleh : Mohd Raziff Alias
Tarikh : 6 April 2022
Kanser dan situasi semasa di Malaysia
Kanser atau lebih dikenali oleh masyarakat umum sebagai penyakit barah pada suatu ketika dahulu amat jarang sekali di dengari, namun kini telah menjadi antara punca kematian yang kerap dilaporkan. Terdapat pelbagai jenis kanser yang telah dikenalpasti sehingga kini seperti kanser payudara, kanser kolorektal dan kanser pary-paru, namun secara asasnya, setiap jenis kanser bermula dengan pertumbuhan luar kawalan sel-sel yang berkaitan secara tidak normal.
Kanser merupakan punca kematian kedua tertinggi rakyat Malaysia selepas penyakit kardiovaskular. Pada tahun 2020, Malaysia mencatatkan sejumlah 48,649 kes baharu kanser dengan jumlah kematian mencecah 29,530 kes. Kanser paru-paru merupakan kanser pembunuh utama di kalangan lelaki, manakala kanser payudara kekal sebagai pembunuh nombor satu dalam kategori kanser bagi kaum wanita.
Penyakit kanser sebenarnya telah melakarkan sejarah perjalanan yang amat panjang. Tahukah anda berapa usia sejarah kanser? Pelbagai manuskrip sejarah telah merekodkan tentang kanser pada manusia dan haiwan seawal permulaan ketamadunan manusia lagi. Antara rekod paling awal tentang kewujudan kanser adalah melalui penemuan bukti kanser yang terdapat pada fosil tumor tulang mumia purba Mesir dan pelbagai rekod di dalam manuskrip purba.
Asal-usul perkataan ‘kanser’
Sebelum kita mengupas lebih lanjut, mari kita mempelajari asal-usul perkataan kanser. Perkataan kanser diperkenalkan oleh Hippocrates (460 – 370 SM) yang juga dikenali sebagai ‘Bapa Perubatan’. Hippocrates telah menggunakan perkataan carcinos dan carcinoma untuk menerangkan tentang pembentukan tumor tidak berkait ulser dan tumor yang berkait ulser. Di dalam bahasa Greek, perkataan ini bermaksud ‘ketam’, ini mungkin disebabkan oleh bentuk sel kanser yang mempunyai struktur seperti jemari yang menjalar seolah-olah seperti seekor ketam. Celcus (50-28 SM) yang merupakan seorang pengamal perubatan pada ketika itu, seterusnya telah menterjemahkan perkataan ini ke dalam bahasa Latin iaitu ‘cancer’, yang bermaksud ketam di dalam bahasa Latin. Sejak itu, perkataan kanser (cancer) kekal digunakan sehingga masa kini.
Menelusuri sejarah kanser, kajian para saintis lebih banyak tertumpu kepada dua tamadun awal manusia iaitu Tamadun Mesir dan Tamadun Greek. Mengapakah ini berlaku? Ini kerana kedua-dua tamadun ini mempunyai simpanan rekod yang sistematik dan masih terpelihara dengan baik setelah beribu-ribu tahun. Tamadun Mesir Kuno terkenal dengan pengebumian mayat secara mumifikasi dan ditanam bersama-sama pelbagai barangan peribadi si mati. Kaedah ini telah memelihara struktur tulang dan tubuh si mati dengan baik dan tidak tercemar. Manakala tamadun Greek pula mempunyai sistem rekod teks perubatan yang lengkap dan tersusun. Kedua-dua faktor ini membolehkan saintis mengumpul bukti dan rekod berkenaan diagnosis dan cara perawatan penyakit kanser di zaman tersebut. Untuk siri pertama ini, kita akan mengupas tentang bukti-bukti penemuan kanser di Tamadun Mesir Kuno
Papyrus sebagai bukti bertulis kanser di peradaban Mesir Kuno
Mesir terkenal dengan tamadun terawal yang menggunakan kertas daripada daun Papyrus sebagai rekod. Antara rekod perubatan mesir kuno yang terkenal adalah 12 dokumen rekod daun papyrus yang dikenali sebagai Medical Papyri. Manuskrip ini merangkumi rekod-rekod perubatan termasuk fungsi jantung dan saluran darah, konsep fisiologi, penggunaan bahan farmaseutikal dan rawatan pembedahan masyarakat Mesir Kuno termasuk 2,000 jenis remedi untuk pelbagai jenis penyakit.
Di dalam siri 12 dokumen ini, Papyrus Ebers merupakan rekod paling tersusun berkenaan diagnosis dan rawatan yang berkaitan dengan tumor. Manuskrip ini diangggarkan ditulis pada tahun 1500 sebelum masihi dan telah diterbitkan oleh Georg Ebers pada tahun 1872. Di dalam perenggan ke- 811, dokumen ini merekodkan jampi untuk menghalang pendarahan, pengeluaran cecair dan menghalang sesuatu yang memakan payudara. Dalam perubatan moden, kombinasi simptom ini menunjukkan pesakit mungkin menghidapi kanser payudara. Manakala pada perenggan ke-813 pula, dokumen ini menyatakan cara-cara rawatan sesuatu yang ‘memakan’ uterus dengan menggunakan batu dari tepi pantai.
Terdapat satu lagi rekod di dalam siri 12 dokumen ini yang lebih fokus kepada bidang kesihatan wanita termasuk sakit puan, kesuburan dan kehamilan iaitu Kahun Papyrus (1800 SM). Di dalam manuskrip ini jelas dinyatakan tentang simptom kanser uterus melalui seperti pengeluaran cecair yang berbau busuk daripada kemaluan wanita dan cara-cara merawat penyakit ini yang diklasifikasikan oleh mereka sebagai kegagalan uterin yang tidak dapat dikenalpasti.
Tulang dan mumia sebagai bukti sejarah kanser
Selain daripada rekod di atas daun Papyrus, para saintis juga telah menjalankan diagnostik terhadap beribu-ribu tulang dan mumia yang ditemui dari tapak-tapak perkuburan kaum Mesir Kuno. Terdapat tiga teknik yang digunakan untuk membuktikan kanser atau karsinoma wujud di kalangan masyarakat pada zaman tersebut iaitu Teknik Pemeriksaan Makroskopik, Pemeriksaan Radiografi dan Kaedah Histologi.
Antara penemuan yang terkenal melalui kaedah di atas adalah penemuan tumor yang amat jarang ditemui dalam perubatan moden kini, iaitu rhabdomyosarcoma yang ditemui di bahagian pipi kanan di bawah mata mumia seorang kanak-kanak berbangsa Chili yang dianggar berumur 12 hingga 18 tahun semasa kematian. Mumia ini dianggarkan bertarikh diantara 300 – 600 Masihi. Diagnosis adalah berdasarkan kepada umur kanak-kanak ini, kedudukan tumor dan gambar histologi.
Satu lagi bukti penemuan tentang kanser di zaman awal adalah penemuan oleh Fornaciari pada tahun 1993. Beliau telah menemui adenokarsinoma kolorektal pada satu mumia dari kurun ke-14 dan disahkan oleh ujian DNA dengan menunjukkan mutasi di exon 12 pada gen KRAS. Terkini saintis telah berjaya membuktikan wujudnya karsinoma pada rektum satu mumia Mesir dari zaman Prolemaic (200-400 Masihi) yang ditemui di Oasis Dakhleh.
Sejarah membina tamadun moden
Berdasarkan kesemua rekod di atas, boleh disimpulkan bahawa kanser bukan merupakan penyakit moden. Kanser telahpun wujud sejak ribuan tahun dahulu lagi dan telah menyerang masyarakat terawal di muka bumi. Apa yang pasti ialah sejarah kanser berpotensi yang membuka peluang seluasnya untuk perubatan moden lebih memahami kanser itu sendiri, termasuk kaedah pencegahan dan teknik-teknik perawatan yang sesuai. Sejarah sentiasa mengajar kita untuk meningkatkan kemandirian manusia di masa hadapan dan membantu membentuk tamadun moden.
Rujukan
- The History Of Cancer. (2014) American Cancer Society. https://www.cancer.org/content/dam/CRC/PDF/Public/6055.00.pdf
- David, A. R., & Zimmerman, M. R. (2010). Cancer: an old disease, a new disease or something in between?. Nature reviews. Cancer, 10(10), 728–733. https://doi.org/10.1038/nrc2914
- Hajdu, S.I. (2011), A note from history: Landmarks in history of cancer, part 1. Cancer, 117: 1097-1102. https://doi.org/10.1002/cncr.25553.
- Zaid, Hilal & Saad, Bashar. (2010). Cancer treatment in the Arab-Islamic medicine: Integration of tradition with modern experimental trails. Jamia. 14. 13-40.
- Seyed Mamoud, T. & Seyed Mohammad, A. T(2014). Diagnosis and treatment of cancer in medical textbook of ancient Iran. Journal Med Ethics Hist Med. 7:16.
- Yan S. H. (2013). An early history of human breast cancer: West meets East. Chinese journal of cancer, 32(9), 475–477. https://doi.org/10.5732/cjc.013.10097
- Stewart BW, Wild CP. (2014). World Cancer Report 2014. Lyon, France: International Agency for Research on Cancer. https://publications.iarc.fr/Non-Series-Publications/World-Cancer-Reports/World-Cancer-Report-2014.pdf
- The Global Cancer Observatory (2021). International Agency for Research Center on Cancer. WHO. https://gco.iarc.fr/today/data/factsheets/populations/458-malaysia-fact-sheets.pdf
- Burden of Cancer. (2021) Cancer Country Profile. https://www.who.int/cancer/country-profiles/MYS_2020.pdf
- wikipedia.org