18 Mei 2025 – Selamat Menyambut Ulang Tahun Ke-55, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Pada tanggal 18 Mei 1970, UKM lahir sebagai manifestasi hasrat rakyat yang mendambakan sebuah universiti nasional bertunjangkan bahasa dan budaya kebangsaan. Hari ini, genap 55 tahun UKM berdiri teguh sebagai institusi ilmu yang menjadi wadah pencerahan dan pemangkin kemajuan bangsa.
Lebih lima dekad berlalu, UKM bukan sekadar mencipta nama di persada tanah air, malah telah menempa kedudukan tersendiri di peringkat antarabangsa. Kecemerlangan ini terhasil daripada dedikasi dan komitmen seluruh warga UKM, para penyelidik, pentadbir, pelajar, alumni, serta sokongan padu rakan strategik dan Kementerian Pendidikan Tinggi.
Kini, UKM melangkah gagah ke hadapan dengan tekad memperkukuh identiti nasional dan memartabatkan bahasa Melayu, di samping mendepani segala cabaran global. Dalam era transformasi digital dan kelestarian alam, UKM terus memainkan peranan penting sebagai peneraju perubahan melalui pendidikan berkualiti, penyelidikan berimpak tinggi dan khidmat masyarakat yang lestari.
Justeru, marilah kita bersama-sama meraikan ulang tahun ini dengan semangat “55 Tahun Menjulang Watan, Meneroka Masa Hadapan”, demi melakar masa depan yang lebih gemilang.
Semoga UKM terus unggul sebagai Universiti Watan yang melahirkan graduan beraspirasi kebangsaan, berkompeten, berdaya saing dan inovatif selaras dengan matlamat pendidikannya untuk agama, bangsa dan negara.
Dirgahayu UKM… Universiti Watan Kita!
Tenang nakhoda mencatur arah,
Bahtera megah merentas sempadan,
55 tahun mengukir sejarah,
UKM memimpin ilmu dan teladan.
#jublizamrudukm