Membentuk Pekerja Cemerlang Dalam Perspektif Islam
By : Norsuzana Abdul Rahman (Pembantu Tadbir N17)
Pekerja yang mempunyai prestasi kerja cemerlang akan sentiasa menjadi buruan organisasi. Organisasi mahu menggunakan pengetahuan, kemahiran, pengalaman, kecekapan dan nilai positif yang dimiliki serta kepakaran yang ada pada pekerja sebegini agar kualiti perkhidmatan yang ditawarkan berada pada tahap cemerlang. Pekerja yang cemerlang menyumbang kepada peningkatan kualiti dan kuantiti perkhidmatan yang baik. Kategori pekerja sebegini akan menyumbang kepada kewujudan organisasi yang akan dapat bersaing secara kompetetif. Pekerja yang memiliki semua aspek positif yang dikehendaki oleh organisasi sudah pasti akan dapat menyumbang hasil pekerjaan yang berkualiti dan menjamin kepada pencapaian visi organisasi. Sebagai aset kepada organisasi, pekerja boleh menentukan masa depan sesebuah organisasi sama ada ke arah kemunduran atau kejayaan. Imej organisasi akan berada pada tahap yang tinggi apabila pekerja menyumbang secara produktif kepada pencapaian visi organisasi. Kecemerlangan memerlukan pengorbanan, dedikasi, kesungguhan, kesabaran, iltizam, kepemimpinan dan pelbagai lagi sikap dan sahsiah positif. Islam mengatur dan memberi kerangka asas seseorang itu mencapai kecemerlangan mengikut landasannya tersendiri.
Budaya kerja yang bagaimanakah dianggap cemerlang mengikut perspektif Islam? Sesuatu yang cemerlang pada anggapan seseorang, boleh jadi tidak dianggap cemerlang mengikut perspektif Islam. Cara kerja atau budaya kerja yang hendak dibina adalah berdasarkan dorongan ke arah pencapaian hasil yang bermutu tinggi dan perkhidmatan cemerlang. Seorang pekerja cemerlang tidak akan bekerja sambil lewa. Kerja yang perlu dilaksanakan akan dilakukannya dengan bersungguh-sungguh, tidak sekadar ‘melepaskan batuk di tangga’. Prestasi kerjanya akan sentiasa tinggi. Jika menemui kesulitan ketika melaksanakan tugas, perkara yang perlu dilakukan adalah berusaha mencari jalan mengatasi atau menyelesaikan masalah itu dan tidak mudah berpatah hati dan mengaku kalah sebelum menyelesaikannya. Untuk mencapai tahap kecemerlangan, seorang pekerja itu perlu menanam dan mengamalkan sifat berikut:
- Pro-aktif dan mengambil inisiatif
Pekerja yang pro-aktif dan mempunyai sikap inisiatif adalah mereka yang melakukan usaha atau sesuatu sebelum dipaksa oleh keadaan atau diarah melakukannya. Sesuatu kerja itu perlu dilakukan dengan tekun dan teliti untuk mengelakkan berlakunya kesilapan. Kesilapan dalam melakukan pekerjaan memanglah boleh dimaafkan, tetapi jika dilakukan berulang kali akan menimbulkan masalah kepada diri sendiri dan orang lain.
- Niat yang betul
Orang yang tidak mempunyai niat yang betul ketika bekerja tidak akan bekerja dengan baik. Orang seperti ini tidak akan mempunyai komitmen terhadap kerja dilakukan. Ramai orang bekerja, tetapi tidak faham atau mengerti kenapa mereka bekerja selain daripada ingin menyara hidup.
- Bertanggungjawab terhadap pelanggan dan masyarakat
Ini merujuk kepada etika kerja yang menekankan tanggungjawab terhadap pelanggan dan masyarakat. Tidak wajar mementingkan keuntungan semata-mata tanpa memikirkan akibat perbuatan itu kepada masyarakat dan alam sekitar.
- Amanah dalam kerja
Sifat amanah adalah teras keharmonian dan kejayaan sesebuah institusi masyarakat atau pekerjaan. Bayangkan jika seseorang pekerja atau pegawai tidak mempunyai sifat amanah, segala urusan tidak akan berjalan dengan sempurna dan akan membawa kepada kehancuran sesuatu institusi itu.
- Komited terhadap kerjaya
Kunci kejayaan seseorang individu ialah komited terhadap kerjaya yang diceburinya. Komited dimaksudkan di sini ialah menumpukan perhatian dan bersungguh-sungguh terhadap apa dilakukan.
- Berakhlak mulia
Ini merupakan teras pembentukan etika kerja profesional. Akhlak mulia yang dimiliki seseorang pekerja mahu pun ketua menjadi lambang ketinggian peribadi dan kualiti individu terbabit.
- Jujur dalam pekerjaan
Sifat jujur atau benar dapat membentuk hubungan sihat di antara sesama pekerja, pekerja dan majikan dan sesama pelanggan serta dapat membendung segala perasaan syak wasangka, tipu daya dan dusta.
- Sentiasa bersyukur
Sikap bersyukur atas kejayaan dan keuntungan diperoleh hasil sesuatu pekerjaan. Harus diingat bahawa keuntungan diperoleh adalah nikmat kurniaan Allah. Jangan iri hati dengan kejayaan orang lain dan bersyukur dengan apa yang telah kita capai. Namun, berazam dan berusaha untuk meningkatkan lagi usaha dan kualiti kerja.
- Pengurusan masa yang cekap
Dalam menjalani pekerjaan, amat perlu dititikberatkan soal pengurusan masa kerana antara faktor kejayaan dalam pekerjaan adalah pengurusan masa yang berkesan. Pengurusan masa yang cekap dapat membantu meringankan beban tugas di samping memudahkan segala urusan kerja.
- Menilai diri (muhasabah)
Setiap orang harus selalu menilai diri, menghitung kebaikan dan keburukan yang dilakukan sepanjang kehidupan dilalui. Muhasabah ini tidak akan mendatangkan sebarang manfaat kepada bangsa dan negara melainkan seorang itu menyedari bahawa dia ada peranan dan kewajipan sebagai anggota masyarakat.