Biopenanda Untuk Pengesanan Awal Kanser

Disediakan oleh : Norliza binti Ismail & Nazihah binti Abd Jalal

Tarikh : 07 July 2022

Institut Biologi Molekul Perubatan UKM, UMBI

 

Secara asasnya, sel di dalam badan mempunyai pusingan jangka hayat untuk membahagi dan membiak. Sel di dalam badan juga saling berinteraksi dengan sel-sel yang lain dan persekitaran sekeliling. Gangguan pada mekanisma pertumbuhan dan sistem interaksi ini menyebabkan sel normal membahagi dan membiak tanpa kawalan. Sel yang tumbuh tanpa kawalan ini boleh memusnahkan sel dan persekitaran sekeliling, dan seterusnya boleh merebak ke tisu atau organ sekunder. Pertumbuhan sel diluar kawalan dalam badan ini dikenali sebagai penyakit kanser [1].

Kanser terbahagi kepada dua kategori iaitu benign dan malignant. Kanser benign tidak berbahaya dan kadar pertumbuhan selnya yang agak perlahan berbanding sel malignant. Sel kanser benign tidak akan menganggu atau menyerang sel normal badan. Ia juga tidak agresif dan tidak akan merebak ke tisu atau organ sekunder. Sel kanser malignant pula adalah agresif dan berbahaya kerana ia boleh membiak dan tidak terkawal dengan sangat cepat sehingga mengganggu sistem fisiologi badan [2].

Gambarajah 1: Perkembangan kanser (benign) dan kanser (malignant) [3]

Gambarajah 2 : Carta bar jenis penyakit kanser dikalangan lelaki dan perempuan di Malaysia, statistik bagi tahun 2012-2016 [4].
Sumber gambar: https://www.moh.gov.my/moh/resources/Penerbitan/Laporan/Umum/2012-2016%20(MNCRR)/MNCR_2012-2016_FINAL_(PUBLISHED_2019).pdf

 

Berdasarkan laporan Malaysia National Cancer Registry Report (MNCR) 2012-2016, sebanyak 115,238 kes kanser baru telah didaftarkan bagi tempoh 2012-2016. Age-standardised incidence rates (ASR) adalah 86.1 untuk lelaki dan 101.6 untuk perempuan bagi setiap 100,000 penduduk. Kadar ASR ini meningkat 2.3 untuk perempuan dan sedikit penurunan bagi lelaki dengan kadar 0.8 bagi tempoh 5 tahun sebelum ini (laporan MNCR bagi tahun 2007-2011) [5]. Peningkatan ini perlu dipandang serius berhubung faktor risiko dan tindakan pencegahan yang perlu dijalankan.

Bagi pengesanan awal kehadiran kanser, pengamal perubatan kebiasaannya akan menjalankan ujian untuk melihat tahap ekspresi beberapa biopenanda kanser yang telah divalidasi secara klinikal. Ujian penanda kanser dijalankan melalui analisis makmal sama ada dalam bentuk protein, antigen atau hormon dan lain-lain analit yang berkaitan. Istilah “penanda kanser” merujuk kepada protein yang dihasilkan oleh kedua-dua sel normal dan sel kanser dalam badan. Ia juga merujuk kepada mutasi, perubahan atau corak dalam DNA kanser tersebut. [6].

Penanda kanser yang ideal dapat menentukan kanser secara spesifik dan sangat sensitif bagi mengesan kehadiran awal kanser, Namun sehingga kini, penanda kanser yang telah dijumpai tidak mempunyai ciri-ciri tersebut. Walaubagaimanapun penanda kanser yang digunakan sedikit sebanyak dapat membantu menjadi indikator bagi perawatan pesakit di Malaysia dan juga global [7].

 

Gambarajah 4: Clinical tumor Markers [8]

Antara penanda kanser yang sering digunakan dalam bidang perubatan adalah CEA (Carcinoembriogenic antigen), CA 125 (Cancer Antigen 125), PSA (Prostate Specific Antigen), AFP (Alpha-Fetoprotein), HCG (Human Chorionic Gonadotrophin) dan beberapa penanda kanser yang lain [7].

CEA (Carcinoembriogenic antigen) merupakan protein yang dihasilkan semasa perkembangan fetus dan akan berkurang selepas proses kelahiran. Bagi individu dewasa, secara normalnya nilai CEA adalah rendah atau hampir tiada, kecuali protein ini dapat dikesan jika seseorang individu menghidap kanser terutamanya kanser di bahagian usus besar (kolon dan rektum). Ia juga mungkin hadir disebabkan oleh kanser lain seperti kanser pankreas, payudara, ovari atau paru-paru [9]. Penyakit lain yang menyebabkan paras CEA tinggi adalah sirosis, hepatitis, penyakit keradangan usus, penyakit ulser peptik, atau keradangan pundi hempedu (cholecystitis). Selain itu, peningkatan parasnya juga boleh berlaku dalam darah seseorang perokok tegar walaupun tiada kehadiran kanser.

Bagi CA-125 (Cancer Antigen 125), nilai protein akan meningkat apabila sel-sel kanser ovari membebaskannya ke dalam saluran darah pesakit. Kebiasaannya hasil ujian CA-125 akan digunakan bersama keputusan pengimbas ultrabunyi bagi membantu mengesan kanser ovari. Ujian CA-125 juga dijalankan untuk melihat keberkesanan rawatan yang dijalankan atau mengesan kanser yang berulang [7] [10].

PSA (Prostate Specific Antigen) adalah protein yang dihasilkan oleh sel normal dan juga sel malignan daripada kelenjar prostat. Pada tahun 1986, FDA telah meluluskan ujian PSA bagi tujuan memantau perkembangan kanser prostat. Dan pada tahun 1994, FDA sekali lagi telah meluluskan penggunaan ujian PSA bersama pemeriksaan rektum secara digital (Digital Rectum Examination) bagi mengesan kanser prostat dikalangan lelaki berumur 50 tahun ke atas. Sehingga kini, penggunaan yang meluas dan digalakkan oleh pengamal perubatan dan organisasi profesional bagi pemeriksaan PSA tahunan [11]. Peningkatan paras PSA berbanding julat normal menandakan kehadiran kanser prostat. Namun, nilai PSA juga meningkat jika berlakunya prostatitis, benign prostatic hyperplasia (BPH) ataupun pengambilan ubat-ubatan tertentu.

AFP (Alpha-Fetoprotein) pula merupakan protein yang dihasilkan pada hati semasa perkembangan fetus. Kemudian ia akan menurun secara mendadak ketika bayi berumur 1 tahun dan parasnya sangat rendah pada seseorang dewasa yang sihat. AFP selalunya tinggi berbanding paras normal sekiranya seseorang menghidap kanser hati atau kanser ovari atau testis. Selain kanser, keadaan lain yang akan menyebabkan nilai AFP yang tinggi dalam darah ialah sirosis dan penyakit hepatitis yang kronik [12].

Manakala HCG (Human Chorionic Gonadotrophin) merupakan sejenis hormon glikoprotien yang mengandungi subunit beta (βHCG). Hormon ini akan meningkat pada wanita hamil dan peningkatan nilai HCG juga boleh dikaitkan dengan kanser yang berasal daripada sel ovum atau sperma seperti kanser ovari atau testis. Peningkatan nilai HCG juga dapat mengesan dan memantau kehamilan luar rahim, kehamilan molar dan juga masalah keguguran [7].

Penanda kanser lain seperti Anaplastic lymphoma kinase (ALK), BCR-ABL, Beta-2-microglobulin (B2M), Bladder tumor antigen (BTA), BRAF, CA 27-29, Calcitonin, Chromogranin A, Epidermal growth factor receptor (EGFR) dan lain-lain merupakan penanda kanser yang masih belum digunakan secara meluas dan masih dalam peringkat kajian [7].

Penanda kanser juga dipantau pengujiannya kepada masyarakat umum bagi mengelak kebergantungan kepada hasil ujian semata-mata untuk menentukan seseorang bebas daripada kanser. Maka, pengujian tambahan perlu dijalankan bagi mendapatkan keputusan yang tepat seterusnya mengukuhkan diagnosis yang dibuat.

Rujukan:

  1. http://www.myhealth.gov.my/kanser/ Zulaiha bt. Muda, 26 April 2012
  2. http://medical-dictionary.thefreedictionary.com/benign+tumor
  3. https://terra.oregonstate.edu/2011/10/how-tumors-begin/
  4. Malaysia National Cancer Registry Report (MNCR) 2012-2016
  5. Malaysia National Cancer Registry Report (MNCR) 2007-2011
  6. https://www.cancer.gov/about-cancer/diagnosis-staging/diagnosis/tumor-markers-fact-sheet
  7. http://www.myhealth.gov.my/penanda-kanser/
  8. https://www.slulabservices.com/news/962/
  9. https://www.webmd.com/cancer/cea-tests
  10. https://www.webmd.com/ovarian-cancer/ca-125-test
  11. https://www.cancer.gov/types/prostate/psa-fact-sheet
  12. gov/lab-tests/alpha-fetoprotein-afp-tumor-marker-test/
  13. Clinical Practice Guidelines on Serum Tumor Markers, 2003. Academy of Medicine of Malaysia and Ministry of Health of Malaysia. acadmed.org.my
  14. https://www.hmetro.com.my/hati/2017/07/249279/bukan-semua-kanser-ada-penanda-tumor
  15. medindia.net