26.7.2026 – UMBI Perkasa Kesedaran Obesiti Melalui Program Komuniti@UniMADANI

CHERAS, 26 Julai 2026 – Institut Biologi Molekul Perubatan UKM (UMBI), dengan kerjasama Fakulti Sains Kesihatan dan Fakulti Perubatan UKM, telah melaksanakan Projek Menangani Obesiti – Intervensi dan Penggunaan Wearable ke Arah Komuniti Sihat, Sejahtera dan Madani di bawah Program Pendayaan Komuniti Kementerian Kewangan Malaysia–Universiti Awam (Komuniti@UniMADANI). Projek ini bertujuan memperkasa kesedaran masyarakat mengenai obesiti melalui pendekatan penyelidikan yang diterjemahkan kepada intervensi kesihatan komuniti.
Sepanjang tempoh pelaksanaan projek, seramai 427 penduduk sekitar Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur telah menyertai program intervensi selama empat bulan yang merangkumi pemakanan sihat, aktiviti fizikal dan rawatan ubatan menggunakan Contrave®. Peserta dibahagikan kepada kumpulan kawalan, kumpulan intervensi diet dan aktiviti fizikal serta kumpulan intervensi diet, aktiviti fizikal dan rawatan ubatan.
Pemeriksaan kesihatan yang dijalankan meliputi ukuran Indeks Jisim Badan (BMI), tekanan darah, komposisi badan, paras glukosa dan kolesterol darah. Dapatan kajian menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan dengan penurunan BMI, ukur lilit pinggang, nisbah ukur lilit pinggang-punggul (WHR), tekanan darah, peratus lemak badan serta kandungan lemak viseral. Di samping itu, jisim otot rangka turut menunjukkan peningkatan selepas intervensi.
Bagi memastikan impak projek dapat diteruskan, peserta turut menerima bahan pendidikan kesihatan dalam bentuk video dan helaian maklumat mengenai obesiti, pemakanan sihat, kaedah memasak yang lebih sihat serta aktiviti fizikal mengikut kesesuaian umur. Semua bahan dikongsi melalui kumpulan WhatsApp bagi memudahkan interaksi berterusan antara peserta dengan pakar klinikal, pakar diet dan pakar aktiviti fizikal.
Forum Kesedaran Obesiti Perkasa Komuniti
Sebagai acara kemuncak projek, UMBI telah menganjurkan Forum Kesedaran Obesiti: Generasi Sihat, Masyarakat Madani yang menghimpunkan lebih 115 peserta daripada komuniti sekitar Cheras. Forum ini menjadi platform untuk membentangkan dapatan akhir projek serta meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai obesiti, kepentingan pemakanan sihat dan amalan aktiviti fizikal.
Peserta turut diberikan pendedahan mengenai pengukuran BMI, kepentingan analisis komposisi badan menggunakan teknologi Dual-Energy X-ray Absorptiometry (DXA) serta langkah-langkah pencegahan obesiti melalui amalan gaya hidup sihat. Forum turut menekankan konsep Pinggan Sihat Malaysia: Suku-Suku-Separuh dan menggalakkan masyarakat melakukan aktiviti fizikal sekurang-kurangnya 30 minit sehari bagi mengurangkan risiko penyakit tidak berjangkit.
Majlis perasmian forum telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat UKM, Prof. Dr. Bariah Mohd. Ali. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa program ini membuktikan hasil penyelidikan universiti mampu diterjemahkan kepada manfaat nyata kepada masyarakat, selaras dengan aspirasi UKM yang berteraskan TEKAD iaitu iaitu Kelestarian dan Kesejahteraan Komuniti serta Kecemerlangan dalam Penyelidikan dan Inovasi.
Forum ini turut disertai oleh wakil Persatuan Penduduk PPR Taman Mulia, Persatuan Penduduk PA Sri Labuan, Persatuan Penduduk PA Sri Johor 4A, Persatuan Penduduk PA Taman Ikan Emas, Persatuan Penduduk PA Seri Sabah 3B, Persatuan Penduduk PA Seri Kota, Persatuan Penduduk PPR Desa Tun Razak dan Persatuan Penduduk PA Sri Johor 4B. Selain mengikuti forum, peserta juga menjalani pemeriksaan saringan kesihatan secara percuma.
UMBI merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) atas sokongan dana melalui Program Komuniti@UniMADANI, serta kepada semua peserta, rakan kerjasama dan ahli jawatankuasa yang telah menjayakan projek dan forum ini.
Oleh:
Profesor Madya Dr. Nor Azian Abdul Murad
Pengarah
Institut Biologi Molekul Perubatan UKM (UMBI)
Bacaan lanjut berkaitan:

Ucapan perasmian oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat UKM, Prof. Dr. Bariah Mohd. Ali.

Pelancaran gimik perasmian oleh TNC-HEJIM. Bersama di dalam gambar adalah Pengarah dan Timbalan Pengarah UMBI.

Sebahagian peserta forum bergambar kenangan bersama Pengarah UMBI dan panel forum.

Pengambilan darah peserta yang menjalani saringan kesihatan percuma.
SDG 3 | SDG 4 | SDG 17
Keywords: Health | Wellbeing | Education | Innovation | Partnership | Knowledge sharing