Latihan Kit Tumpahan Biohazard

24 September 2025 (Rabu) – Institut Biologi Molekul Perubatan UKM (UMBI) melalui Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) telah menganjurkan Latihan Kit Tumpahan Biohazard (Biohazard Spill Kit Training) pada 24 September 2025 bertempat di Auditorium UMBI. Latihan ini berlangsung dari jam 2.30 petang hingga 4.00 petang.
Objektif utama latihan adalah untuk meningkatkan kesedaran serta kemahiran kakitangan UMBI dalam mengendalikan insiden tumpahan bahan biohazard di makmal, di samping menekankan kepentingan tindak balas segera terhadap insiden tersebut. Cik Audrey Yap Pee Lin daripada Syarikat Labsystem Scientific Sdn Bhd telah dijemput khas sebagai penceramah bagi sesi ini. Seramai 59 orang peserta yang terdiri daripada felo penyelidik, kakitangan UMBI, kakitangan The Malaysian Cohort, serta pelajar telah menghadiri seminar ini. Antara pengisian menarik yang telah dikongsikan termasuklah penerangan tentang prosedur tindak balas iaitu langkah demi langkah penggunaan kit, kawalan kawasan, pembersihan tumpahan, pelupusan sisa, serta pelaporan insiden. Di samping itu, latihan simulasi bagi tumpahan kecil dan besar turut dijalankan dengan melibatkan penyertaan aktif para peserta.Para peserta memberikan maklum balas yang sangat positif dan menunjukkan komitmen tinggi dalam meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi situasi kecemasan di makmal. Latihan ini berjaya mencapai objektif dengan meningkatkan tahap kesedaran, pengetahuan, dan kemahiran kakitangan UMBI dalam menangani insiden tumpahan biohazard. Penguasaan penggunaan Kit Tumpahan Biohazard diharap dapat mengurangkan risiko pendedahan, melindungi keselamatan diri serta persekitaran, dan mengekalkan standard keselamatan makmal bertaraf antarabangsa.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan seminar ini. Semoga ilmu dan Kemahiran yang diperoleh dapat dimanfaatkan dalam amalan kerja seharian dan sewaktu menghadapi kecemasan.
—
SDG 3 | SDG 8 – Keywords: Wellbeing, Decent work, Safe work.