Latihan Sangkutan HSAAS di Unit Biobank UMBI

23 Oktober 2025, Unit Biobank UMBI – Unit Biobank UMBI telah menerima dua (2) orang kakitangan daripada Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia, Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS) untuk menjalani latihan sangkutan selama dua minggu bermula pada 6 Oktober 2025 hingga 17 Oktober 2025. Peserta latihan terdiri daripada kakitangan Jabatan Patologi iaitu Puan Nurul Syuhada Osman, Pegawai Sains, dan Encik Muhammad Nur’faiz Hilmie Razali, Juruteknologi Makmal Perubatan. Sepanjang tempoh latihan, peserta berpeluang menjalani latihan teori dan teknikal secara terperinci meliputi keseluruhan aspek pengurusan Biobank — bermula daripada pengendalian logistik sampel, pemprosesan sampel, penyimpanan, pengurusan data klinikal, penyelenggaraan instrumentasi dan prasarana Biobank, sehinggalah kepada kawalan kualiti (QC) sampel. Latihan ini bertujuan memberikan pendedahan mendalam mengenai amalan terbaik dalam operasi Biobank selaras dengan piawaian antarabangsa.

Selain itu, peserta turut berpeluang menyertai satu sesi perkongsian ilmu bersama Prof. Datuk Dr. A Rahman A Jamal, Penasihat Biobank UMBI. Dalam sesi ini, beliau berkongsi pengalaman dan kepakaran beliau yang luas selama lebih 20 tahun dalam mentadbir urus Biobank serta usaha beliau membawa Biobank UMBI ke peringkat antarabangsa sebagai antara pusat Biobank terkemuka di rantau ini.

Secara keseluruhannya, peserta mengikuti enam (6) modul pembelajaran utama yang disusun khas oleh pasukan Biobank UMBI, iaitu:
1. Biobank Introduction & Governance
2. Biobank Ethics & Confidentiality
3. Infrastructure, Safety & Management
4. Biospecimen Handling & Processing
5. Biospecimen Storage & Safety
6. Biobank Informatics & Monitoring

Selain memperkukuh pengetahuan teknikal peserta, latihan ini turut bertujuan untuk menjalin hubungan kolaborasi strategik antara UMBI dan HSAAS, khususnya dalam memperkukuh jaringan kepakaran dan perkongsian ilmu dalam bidang Biobank dan penyelidikan bioperubatan. Latihan sangkutan ini diharapkan dapat menjadi platform penting dalam memperkukuh kecekapan tenaga kerja serta memperluas kerjasama antara institusi ke arah pembangunan Biobank yang lebih mampan dan berimpak tinggi di Malaysia.

Institusi atau syarikat yang berminat untuk menjalankan latihan sangkutan di Unit Biobank UMBI atau menjalinkan kolaborasi penyelidikan, boleh berhubung terus dengan pihak UMBI untuk mendapatkan maklumat, modul latihan serta penjadualan program. Pihak UMBI sentiasa mengalu-alukan kerjasama serta perkongsian ilmu dalam memperkukuh pembangunan Biobank dan penyelidikan bioperubatan di Malaysia.

SDG 4 | SDG17

Keywords: Quality education, Knowledge sharing