Lawatan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (DVS) Bersama Agensi Teknikal Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) ke Biobank UMBI-HCTM

 

18 Februari 2025 |Biobank UMBI-HCTM telah menerima lawatan delegasi dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (DVS) bersama Agensi Teknikal Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) pada 18 Februari 2025 lalu. Lawatan ini bertujuan untuk membincangkan penerangan, keperluan, dan spesifikasi teknikal bagi penubuhan biobank serta memahami lebih lanjut tentang penyelidikan dan teknologi yang diterapkan di Biobank UMBI. Selain itu, perbincangan ini turut membuka peluang untuk potensi kolaborasi antara institusi-institusi yang terlibat.

Delegasi ini telah diketuai oleh Dr. Mas Ayu Suraya Abd Rahman selaku Ketua Seksyen merangkap Ketua Projek dan dibantu oleh Dr. Ari Hajis Basir selaku Timbalan Ketua Projek. Delegasi turut dibantu oleh JKR yang diketuai oleh Pn. Noor Syahida Mohd Fuat serta ahli pasukan terdiri daripada Cawangan Kerja Bangunan Am, Arkitek Projek, Unit Mekanikal, Unit Elektrik, dan Unit Juruteknik bagi memberi khidmat nasihat dan spesifikasi teknikal serta sebagai agensi pelaksana.

Sebagai sebahagian daripada lawatan ini, delegasi turut berpeluang melawat beberapa makmal di bawah seliaan UMBI termasuklah Makmal Penjujukan Genom, Makmal Genomik, Makmal DNA, dan Makmal RNA. Kunjungan ini memberi peluang kepada para delegasi untuk melihat secara langsung fasiliti serta teknologi moden yang digunakan dalam bidang penyelidikan bioperubatan di UMBI.

Lawatan ini diharapkan dapat memperkukuh hubungan antara UMBI, DVS, dan JKR serta memudahkan perkongsian ilmu dan kepakaran dalam membangunkan biobank yang memenuhi prosedur standard dan keperluan teknikal yang diperlukan ke arah masa depan. Kolaborasi ini juga dijangka dapat menyumbang kepada kemajuan penyelidikan dan pembangunan bioteknologi khususnya di Malaysia.

 

Disediakan oleh: Ahmad Termidzi Mohd Azhar