Majlis Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Kanak-Kanak Dan Pelancaran Buku Siri Kesedaran Kanser Kanak-Kanak “Ibu, Sara Demam!”

21 Oktober 2023 – Projek “Initiative for Precision Medicine in Paediatric Cancer Therapy (IMPACT): Improving Paediatric Cancer Survival Rate” dengan kerjasama Unit Haematologi & Onkologi Pediatrik, Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-kanak (HPKK) UKM telah menganjurkan Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Kanak-Kanak Sedunia Dan Pelancaran Buku “Ibu, Sara Demam!” edisi pertama di Pustaka Raja Tun Uda, Shah Alam Selangor. Majlis ini telah ditaja sepenuhnya oleh Yayasan PETRONAS melalui projek IMPACT.

Buat julung kalinya sambutan seumpama ini telah dilaksanakan untuk bersama-bersama masyarakat setempat bagi menyampaikan maklumat dan memberi kesedaran kepada ibu bapa dan penjaga khususnya golongan B40 di Pustaka Raja Tun Uda di bawah seliaan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Shah Alam, Selangor Darul Ehsan. Majlis telah dirasmikan oleh Puan Shariah Nelly Francis, Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan PETRONAS. Turut hadir bagi meraikan sambutan ini adalah Prof. Dato’ Dr. Razman Jarmin, Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Projek IMPACT juga merupakan Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).

Perasmian pelancaran buku telah disempurnakan oleh Puan Shariah Nelly Francis, Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan PETRONAS (kiri) dan turut hadir ialah Prof. Dato’ Dr. Razman Jarmin, Pengarah HCTM dan Prof. Dr. Hamidah Alias Timbalan Pengarah (Perubatan), HPKK

Matlamat utama program ini dijalankan adalah untuk memberi pendedahan kepada masyarakat setempat berkenaan Bulan Kesedaran Kanser Kanak-Kanak yang disambut oleh seluruh dunia pada bulan September setiap tahun di samping mengedarkan buku siri kesedaran kanser kanak-kanak bertajuk “Ibu, Sara Demam!” kepada para pengunjung.

Buku siri “Ibu, Sara Demam!” ditulis oleh Dr. Mohamad Shukri Khoo, diilhamkan dan diterjemahkan secara lebih ringkas serta mudah difahami oleh pasukan perubatan dalam bidang kepakaran kanser kanak-kanak yang diketuai Prof. Dr. Hamidah Alias, Pakar Perunding Kanan, Unit Haematologi & Onkologi Pediatrik juga merupakan Timbalan Pengarah (Perubatan) Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-kanak UKM (HPKK) bersama Prof. Datuk Dr. A Rahman A Jamal sebagai satu usaha untuk meningkatkan kesedaran dan mengukuhkan pemahaman tentang kanser kanak-kanak.

Buku ini bertujuan untuk memberikan sokongan penting kepada ibu bapa dan keluarga dalam usaha mereka untuk memahami kanser yang dihidapi oleh anak-anak mereka. Buku pertama dalam siri yang dilancarkan mengisahkan tentang seorang gadis yang bernama Sara yang berkisar tentang perjuangan Sara dalam melawan kanser.

Antara acara lain yang dianjurkan kepada para pengunjung adalah ceramah “Perkembangan Dalam Kajian dan Rawatan Leukemia Kanak-Kanak” dan “Memahami Kanser Kanak-Kanak dan Mengenali Gejala Awal”, pertandingan mewarna, saringan kesihatan dan persembahan ‘Magical Clown Show’ oleh Watt de Clown.

Gambar bersama ibu bapa dan penjaga yang hadir

Gambar wakil projek IMPACT bersama Yayasan PETRONAS

Persembahan ‘Magical Clown Show’ oleh Watt de Clown