9.10.2026 – Makmal Bioanalitikal The Malaysian Cohort (TMC) kekal Akreditasi MS ISO 15189, Perkukuh Skop Perkhidmatan Makmal

 

KUALA LUMPUR, 9 Oktober 2026 – Makmal Bioanalitikal Projek The Malaysian Cohort (TMC) telah berjaya mengekalkan akreditasi MS ISO 15189 daripada Jabatan Standards Malaysia (JSM) sejak tahun 2011. Bagi memastikan sistem pengurusan kualiti makmal sentiasa memenuhi keperluan piawaian yang ditetapkan, penilaian pemantauan (surveillance) dilaksanakan secara berkala. Seiring dengan perkembangan perkhidmatan dan pelaksanaan ujian baharu, makmal turut mengambil inisiatif memperluas skop akreditasi melalui penilaian penambahan skop (Extension of Scope).

Sehubungan itu, Penilaian Pemantauan II dan Penambahan Skop Akreditasi (Surveillance II cum Extension of Scope) MS ISO 15189:2022 telah berjaya dilaksanakan pada 5 hingga 6 Oktober 2026.

Penilaian ini dikendalikan oleh pasukan penilai yang terdiri daripada Puan Ng Pui Wan (Pesara Kerajaan) selaku Ketua Penilai bagi skop pengurusan kualiti, Puan Joan Yeoh (Pegawai Sains Kanan, Hospital Umum Sarawak) sebagai Penilai Teknikal Patologi Kimia, serta Ts. Rd. Aidifitrina bt Khirotdin (Pensyarah Kanan, Fakulti Pergigian, Universiti Teknologi MARA, Kampus Sungai Buloh) sebagai Penilai Teknikal Hematologi.

Penilaian ini turut disaksikan oleh Mrs. Rohasmizah Ismail, Ketua Penolong Pengarah Akreditasi, Jabatan Standards Malaysia (JSM), selaku Penilai JSM. Kehadiran beliau bertujuan memantau kompetensi pasukan penilai selaras dengan keperluan MS ISO/IEC 17011, tanpa terlibat dalam proses membuat keputusan berkaitan hasil penilaian.

Secara keseluruhannya, hasil penilaian menunjukkan bahawa makmal telah mengekalkan sistem pengurusan kualiti dan tahap kompetensi yang memuaskan serta memenuhi keperluan MS ISO 15189:2022 dan Skim Akreditasi Makmal Malaysia (SAMM). Pasukan Penilai turut mengesyorkan penerusan akreditasi sedia ada dan kelulusan penambahan skop, tertakluk kepada penyelesaian ketakakuran yang dikenal pasti serta pengemukaan bukti tindakan pembetulan dalam tempoh yang ditetapkan.

Pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan Makmal Bioanalitikal Projek TMC dalam memperkukuh sistem pengurusan kualiti, meningkatkan kompetensi teknikal serta memastikan perkhidmatan makmal yang berkualiti, kompeten dan dipercayai.


SDG 4 | SDG 8 | SDG 16

Keywords: Education, Decent work, Productivity, Transparency, Governance

Pautan FACEBOOK