Methicillin-Resistant Staphylococcus aureus (MRSA) dan Kesihatan

Ditulis oleh : Saberi Haji Saimun, Nazihah Abd Jalal, Ahmad Termidzi Mohd Azhar

Tarikh :  19 April 2023

INSTITUT BIOLOGI MOLEKUL PERUBATAN UKM

Methicillin-Resistant Staphylococcus aureus (MRSA) dan Kesihatan

 

S.aureus merupakan bakteria Gram-positif berbentuk sfera, dan kelazimannya membentuk koloni yang menyerupai gugusan buah anggur apabila dilihat di bawah mikroskop cahaya selepas pewarnaan Gram. Nama bakteria ini diambil daripada perkataan Staphylococcus yang berasal daripada Bahasa Yunani yang bermaksud sekumpulan anggur (staphyle) dan buah beri (kokkos) [1]. Istilah ‘aureus‘ pula berasal daripada bahasa Latin, yang merujuk kepada warna emas [2]. Melalui pemerhatian pada miskroskop electron, S.aureus berbentuk sfera dengan permukaan licin [3], manakala diameter bakteria ini dianggarkan antara 0.5 hingga 1.0 μM [4]. S. aureus adalah organisma anaerobik, aerobik dan fakultatif anaerobic (keadaan beroksigen atau tiada oksigen) yang membentuk koloni kuning atau putih yang agak besar pada media agar yang kaya dengan nutrien.

Gambar diadaptasi dari [7]

Staphylococcus aureus (S.aureus) adalah sejenis bakteria yang terdapat pada kulit atau dalam hidung kira-kira 25%-30% individu sihat [5] [6], S.aureus membentuk koloni pada permukaan kulit dan hidung tanpa menyebabkan sebarang penyakit namun begitu bakteria ini boleh menyebabkan jangkitan apabila bakteria tersebut berjaya menembusi lapisan kulit yang terbuka yang disebabkan oleh luka atau melalui membran mukosa yang terbuka. S.aureus juga merupakan salah satu penyebab biasa jangkitan kulit seperti jerawat dan bisul. Walaubagaimanapun, ia juga boleh mengakibatkan penyakit yang lebih serius seperti jangkitan pada luka pembedahan, saluran darah, tulang dan radang paru-paru sehingga boleh mengakibatkan kematian.

Dalam beberapa dekad yang lalu, varian S.aureus yang lebih berbahaya telah muncul dan dikenali sebagai MRSA atau Methicillin-Resistant Staphylococcus aureus. MRSA dijumpai buat pertama kalinya pada tahun 1961, iaitu setahun selepas antibiotik methicillin diperkenalkan untuk merawat jangkitan S.aureus [8]. Sejak daripada itu, MRSA ini menjadi kebimbangan utama di seluruh dunia kerana kadar kematian disebabkan olehnya yang tinggi [9]. Ianya berbeza dengan jangkitan S.aureus yang biasa kerana sifat kekebalan dan kerintangannya yang tinggi terhadap pelbagai antibiotik seperti methicillin, amoxicillin, oxacillin, dan penicillin. Ini bermakna antibiotik-antibotik ini tidak berkesan untuk melawan jangkitan MRSA ini, malah menjadikan MRSA sangat sukar untuk diubati. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2017, telah meletakkan jangkitan MRSA pada kedudukan kedua patogen yang perlu diberi keutamaan dalam penyelidikan dan pembangunan ke arah penghasilan antibiotik baharu yang lebih berkesan [10]. WHO pada tahun 2019 turut mengisytiharkan, Antimicrobial Resistance (AMR) atau rintangan antimicrobial/antibiotik sebagai salah satu daripada 10 isu kesihatan global terpenting dan MRSA diklasifikasikan dalam senarai AMR tersebut. Keperluan mendesak untuk menangani isu bebanan AMR ini tidak boleh dipandang remeh. Hal ini kerana Profesor Mohsen Naghavi yang mengetuai laporan AMR ini menjangkakan MRSA akan terus mengancam nyawa manusia dan kadar perebakan jangkitan akan semakin meningkat [11], malah kesan rintangan antimikrobial/AMR adalah sangat besar kerana ianya menyukarkan kawalan penyakit berjangkit, meningkatkan kos penjagaan kesihatan dan bebanan ekoran malah memberi risiko terhadap perkembangan perubatan moden.


Gambar diadaptasi dari [12]

MRSA juga dikenali sebagai salah satu patogen yang menyebabkan jangkitan di hospital dan komuniti. Kadar jangkitan MRSA telah meningkat (> 50%) di negara-negara Asia, Amerika Utara dan Amerika Selatan [13]. Di Malaysia, prevalen MRSA dilaporkan antara 17% pada tahun 1986 [14] hingga 44.1% pada tahun 2007 [15].  Pada kebiasaannya, jangkitan MRSA dikaitkan dengan kemasukan ke hospital atau faktor risiko lain yang berkaitan dengan penjagaan kesihatan yang dikenali sebagai Healthcare-Associated MRSA (HA-MRSA). Jangkitan MRSA kategori ini terjadi sewaktu pesakit menerima rawatan di hospital atau disebabkan oleh prosedur yang tidak disterilisasi dengan betul oleh petugas kesihatan. Jangkitan ini mudah terjadi apabila terdapat sentuhan langsung pada luka yang terdedah oleh tangan atau alat perubatan yang dijangkiti mikroorganisma S.aureus ini seterusnya boleh menyebabkan jangkitan yang lebih serius seperti jangkitan pada saluran darah (sepsis) dan paru-paru (pneumonia). Beberapa tahun kebelakangan ini, pakar perubatan dan kakitangan kesihatan mendapati terdapat peningkatan jangkitan MRSA dalam kalangan komuniti di penjara, rumah penjagaan orang tua, pusat asuhan dan juga pusat urut yang dikenali sebagai Community-associated MRSA (CA-MRSA). Jangkitan CA-MRSA cenderung berlaku melalui sentuhan langsung individu sihat dengan pesakit yang telah dijangkiti MRSA di dalam kawasan yang padat atau kurang penjarakan fizikal. Tidak seperti HA-MRSA, sumber jangkitan CA-MRSA sukar untuk dikenalpasti.

Gejala jangkitan MRSA bergantung kepada bahagian badan yang dijangkiti gejala MRSA sukar untuk dikenalpasti, tetapi dalam kebanyakan kes, jangkitan akan mula muncul sebagai benjolan kecil. Ini akan disusuli dengan pembengkakan, rasa pedih dan hangat apabila disentuh dan dipenuhi dengan nanah serta demam. Diagnosa jangkitan MRSA dimulakan dengan pemeriksaan fizikal ke atas anggota badan pesakit secara menyeluruh, kemudian pegawai perubatan akan melaksanakan beberapa ujian diagnostik sokongan, seperti pengambilan biospesimen daripada kahak, luka, darah, atau air kencing pesakit, Jika jangkitan MRSA berlaku pada organ dalaman seperti tulang, penyiasatan susulan seperti biopsi akan dilakukan.

Pencegahan adalah langkah terbaik untuk mengelakkan jangkitan MRSA. Bagi pesakit yang berada di hospital, beberapa perkara mudah boleh dilakukan untuk mengurangkan risiko penyebaran jangkitan. Perkara ini termasuk membasuh tangan dengan lebih kerap dan disanitasi dengan 70% alkohol terutama sebelum dan selepas makan atau ke tandas, sentiasa mengikuti nasihat doktor tentang penjagaan luka yang baik, serta mengaplikasikan pembalutan pada sebarang luka seperti kudis agar MRSA tidak dapat menembusi badan. Ketua penyakit berjangkit Kementerian Kesihatan Malaysia Datuk Dr Christopher Lee, berkongsi beberapa tips yang boleh dilakukan untuk mengelakkan jangkitan MRSA. Antaranya adalah dengan tidak berkongsi tuala dengam individu lain semasa melakukan aktiviti senaman, sentiasa menyahkuman setiap peralatan yang digunakan serta memastikan pemilihan premis khidmat urut sentiasa menerapkan nilai kebersihan [16].

 

Rujukan:

  1. Licitra G. Etymologia: Staphylococcus. Emerg Infect Dis. 2013;19:1553. DOI: 10.3201/eid1909.ET1909
  2. JT, Datta V, Hoffman HM, Bastian JF, Fierer J, Nizet V. Staphylococcus aureus golden pigment impairs neutrophil killing and promotes virulence through its antioxidant activity. J Exp Med. 2005;202:209–215. DOI:
  3. Greenwood D, O’Grady F. Scanning electron microscopy of Staphylococcus aureus exposed to some common anti-staphylococcal agents. J Gen Microbiol. 1972;70:263–270. DOI: 10.1099/00221287-70-2-263
  4. Foster T. Chapter 12: Staphylococcus. Medical Microbiology. 4th edition. Galveston (TX): University of Texas Medical Branch at Galveston, Galveston, Texas; 1996.
  5. Kluytmans J, van Belkum A, Verbrugh H (July 1997). “Nasal carriage of Staphylococcus aureus: epidemiology, underlying mechanisms, and associated risks”. Clinical Microbiology Reviews. 10 (3): 505–520. doi:10.1128/CMR.10.3.505. PMC 172932. PMID 9227864.
  6. Tong SY, Davis JS, Eichenberger E, Holland TL, Fowler VG (July 2015). “Staphylococcus aureus infections: epidemiology, pathophysiology, clinical manifestations, and management”. Clinical Microbiology Reviews. 28 (3): 603–661. doi:10.1128/CMR.00134-14. PMC 4451395. PMID 26016486.
  7. Staphylococcus bacterium vector illustration By Alexander Pokusay
  8. Jevons MP. “Celbenin”-resistant staphylococci. BMJ 1961;1: 124-5.
  9. G. Cuervo et al. 2015. Clinical characteristics, treatment and outcomes of MRSA bacteraemia in the elderly. The Journal of infection 72(3):309-16
  10. World Health Organization. WHO Publishes List of Bacteria for Which New Antibiotics Are Urgently Needed. Available online: https://www.who.int/news-room/detail/27-02-2017-who-publishes-list-of-bacteria-for-which-new-antibiotics-are-urgently-needed (accessed on 27 February 2017).
  11. Antimicrobial Resistance Collaborators. Global burden of bacterial antimicrobial resistance in 2019: a systematic analysis. The Lancet 2022;399(10325):P629-655. DOI: https://doi.org/10.1016/S0140-6736(21)02724-0.
  12. https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/21165-staph-infection-staphylococcus-infection
  13. Stefani S, Chung DR, Lindsay JA, Friedrich AW, Kearns AM, Westh H, Mackenzie FM. Meticillin-resistant Staphylococcus aureus (MRSA): global epidemiology and harmonisation of typing methods. Int J Antimicrob Agents. 2012;39(4):273–82. doi:10.1016/j.ijantimicag.2011.09.030.
  14. Rohani MY, Raudzah A, Lau MG, Zaidatul AA, Salbiah MN, Keah KC, Noraini A, Zainuldin T. Susceptibility pattern of Staphylococcus aureus isolated in Malaysian hospitals. Int J Antimicrob Agents. 2000;13(3):209–13. doi:10.1016/S0924-8579(99)00129-6.
  15. Ahmad N, Ruzan IN, Abd Ghani MK, Hussin A, Nawi S, Aziz MN, Maning N, Eow VL. Characteristics of community- and hospital- acquired meticillin- resistant Staphylococcus aureus strains carrying SCCmec type IV isolated in Malaysia. J Med Microbiol. 2009;58(9):1213–8. doi:10.1099/jmm.0.011353-0.
  16. http://sihatmalaysia.my/ancaman-bakteria-mrsa/