Profesor Madya Dr. Nadiah Abu Terima Anugerah Saintis Muda Negara 2026 (Biologi)

KUALA LUMPUR, 16 November 2026 – Seluruh warga UMBI merakamkan ucapan tahniah kepada Profesor Madya Dr. Nadiah Abu atas kejayaan menerima Anugerah Saintis Muda Negara 2026 (Biologi) oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) pada 16 Nevember 2026 di MAEPS, Serdang. Anugerah ini adalah pengiktirafan terhadap sumbangan dan kecemerlangan beliau dalam bidang penyelidikan sains, khusunya penyelidikan vesikel ekstrasel (extracellular vesicles, EV) dalam kanser kolorektal.

Penyelidkan Dr. Nadiah memberi tumpuan kepada EV, iaitu zarah bersaiz nano yang dilepaskan oleh sel, termasuk sel kanser. Walaupun bersaiz sangt kecil, EV membawa maklumat biologi penting yang berpotensi membantu penyelidik memahami mekanisme perkembangan kanser serta interaksi antara sel.

Menurut beliau, sejak memulakan penyelidikan berkaitan EV di UKM pada tahun 2016, kumpulan penyelidiknya telah meneroka tiga aspek utama, iaitu pengesanan awal kanser, ketahanan sel kanser terhadap kemoterapi dan interaksi antara sel kanser dengan sistem imun badan.

Antara penemuan penting penyelidikan tersebut ialah pengenalpastian molekul dalam EV yang berkaitan dengan ketahanan terhadap kemoterapi serta pemahaman tentang bagaimana EV boleh mempengaruhi fungsi sel imun. Penyelidikan ini turut meneroka potensi EV sebagai pendekatan untuk mengesan kanser malalui ujian darah.

Beliau berharap penyelidikan tersebut dapat menyumbang kepada pengesanan kanser pada peringkat lebih awal serta pembangunan rawatan yang lebig berkesan dan bersesuaian dengan keperluan setiap pesakit.

Mengulas mengenai pengiktirafan yang diterima, beliau berkata, “Saya berharap pengiktirafan ini menjadi pemangkin untuk saya terus memperkukuh penyelidikan dalam bidang vesikel ekstrasel, membuka lebih banyak peluang kerjasama serta memberi inspirasi kepada generasi penyelidik muda untuk terus meneroka bidang sains dan menghasilkan penyelidikan yang memberi manfaat kepada masyarakat.”

Kejayaan ini mencerminkan kepentingan persekitaran penyelidikan yang kondusif dalam membangunkan bakat, memperkukuh kepakaran dan melahirkan penyelidik yang mampu meneroka bidang penyelidikan baharu. UMBI sentiasa komited untuk menyediakan sokongan dan peluang kepada para penyelidikan bagi mengembangkan potensi serta menghasilkan penyelidikan yang memberi impak kepada masyarakat.

Tahniah Profesor Madya Dr. Nadiah Abu! Semoga kajayaan ini menjadi inspirasi kepada lebih ramai penyelidik muda untuk terus meneroka, berinovasi dan menyumbang kepada kemajuan sains dan kesihatan negara.

—

Berita RTM | Facebook UKM | Facebook UMBI | LinkedIn UMBI

SDG 3 | SDG 8 | SDG 16 – Health, Productivity, Innovation, Education, Quality of life