Program Saringan Kesihatan Komuniti Orang Asli Projek The Malaysian Cohort (TMC)

13 Jun 2025 – Program rekrutmen dan saringan kesihatan telah berjaya dijalankan oleh pasukan penyelidik Projek The Malaysian Cohort (TMC) kepada komuniti khas Orang Asli bertempat di Balai Raya Kampung Orang Asli Padang, Sungai Congkak, Selangor pada 30 Mei 2025. Program ini menyasarkan penyertaan tiga generasi komuniti Orang Asli yang berumur 35 tahun dan ke atas.

Program ini adalah salah satu sub-projek di bawah inisiatif “Towards Precision Health Malaysia: Whole Genome Sequencing of Healthy and Diseased Individuals”, yang bertujuan memperkukuh pendekatan perubatan jitu (precision health) di Malaysia melalui penyelidikan molekul dan gaya hidup.

Seramai 19 peserta yang berketurunan Melayu-Proto (Temuan) berjaya direkrut untuk saringan yang merangkumi pengambilan sampel darah dan urin serta pengukuran biofizikal. Peserta dipilih berdasarkan kriteria unik iaitu tiga generasi daripada sub-keturunan yang sama, bagi memastikan ketepatan dan ketulenan data genetik yang diperoleh.

Program ini membawa beberapa objektif penting:

  1. Mengkaji interaksi antara genetik, persekitaran dan gaya hidup dalam perkembangan pelbagai penyakit melalui kajian kohort berskala besar.
  2. Mengenal pasti penanda awal penyakit seperti barah melalui teknologi genomik dan proteomik, sekali gus menyumbang kepada pengesanan awal dan langkah pencegahan.
  3. Memperkasa inisiatif bioteknologi negara melalui kerjasama penyelidikan berimpak tinggi di peringkat antarabangsa.
  4. Menyokong penubuhan Biobank Nasional sebagai pusat rujukan utama biospesimen dan data kesihatan untuk komuniti saintifik Malaysia.

Penyertaan komuniti Orang Asli dalam program ini adalah satu langkah penting ke arah mewujudkan dasar kesihatan yang lebih adil dan menyeluruh, serta memastikan bahawa populasi minoriti juga diwakili dalam data penyelidikan negara.

Penganjuran program ini bukan sahaja menyumbang kepada pengumpulan data kesihatan yang lebih pelbagai, malah memperkukuh hubungan antara penyelidik dan komuniti, menjadikan ia satu contoh kolaborasi yang berimpak tinggi dalam dunia sains dan kesihatan awam negara.

Bacaan lain berkaitan:

The Malaysian Cohort – A Resource For The Precision Medicine Initiative