Sambutan Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-20 UMBI

1 Disember 2023 | Institut Biologi Molekul Perubatan UKM (UMBI) melabuhkan tirai kemuncak sambutan ulang tahunnya yang ke-20 dengan Majlis Makan Malam yang telah diadakan pada 1 Disember 2023 di Dewan Kampo, Pusat Belia Antarabangsa (IYC) Cheras.

Majlis ini telah dirasmikan oleh YBhg. Profesor Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd. Razak Pengerusi Lembaga Pengarah UKM dan turut dihadiri oleh YBhg. Profesor Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pro-Naib Canselor (KKL) UKM, Pengarah HPKK, Pengarah HCTM, serta jemputan tetamu kehormat lain.

Gimik perasmian dilancarkan dengan simbolik kapsul masa yang mengandungi nota-nota aspirasi dan harapan yang telah dilakarkan oleh warga UMBI pada Tahun 2013, iaitu pada Sambutan Ulang Tahun UMBI yang ke-10.

Pada malam ini juga, UMBI telah menerima sumbangan daripada Syarikat BioEasy Sdn. Bhd sebagai simbolik Pelancaran Tabung Pendidikan dan Pembelajaran UMBI. Cek cura sumbangan yang berjumlah RM20,000.00 telah disampaikan oleh Encik Ben Foong, Pengurus Besar Syarikat BioEasy Sdn. Bhd kepada Pengerusi LPU UKM.

Dengan bertemakan ‘Retro Warna-Warni’, sambutan gilang-gemilang ini merupakan simbolik tanda penghargaan kepada seluruh warganya sama ada felo penyelidik, kakitangan makmal, kakitangan pentadbiran, warga kerja Projek The Malaysian Cohort serta para pelajar yang bersama-sama mendukung misi dan visi UMBI dan UKM sepanjang 20 tahun sejak penubuhannya.

Majlis ini turut dimeriahkan dengan muzik iringan dan persembahan yang bertenaga daripada pasukan Kombo DBKL.

Tahniah diucapkan kepada UMBI di atas pencapaian yang membanggakan sepanjang 20 tahun ini. Mudahan UMBI terus cemerlang terkehadapan.