Skor Saringan Kolorektal Asia-Pasifik / Asia-Pasific Colorectal Screening (APCS): Model Ramalan/Saringan Ringkas Bagi Kumpulan Berisiko Tinggi Kanser Kolorektal

Disediakan oleh : Nazihah Abd Jalal, Norliza Ismail, Noraidatulakma Abdullah

Tarikh : 07 July 2022

Institut Biologi Molekul Perubatan UKM, UMBI

 

Kanser kolorektal atau kanser usus besar merupakan kanser ketiga yang paling kerap didiagnosa dan kedua tertinggi merekodkan kadar kematian (lelaki dan wanita) diseluruh dunia seperti yang dilaporkan di dalam pangkalan data statistik kanser global, GLOBOCAN 2020 [1]. Berdasarkan statistik World Health Organization (WHO), terdapat anggaran sebanyak 1,931,590 kes baharu kanser kolorektal direkodkan dan 916,000 kes kematian sepanjang tahun 2020 [2]. Peningkatan drastik dalam kes kanser kolorektal yang dilaporkan adalah sejajar dengan perkembangan populasi, perubahan demografik dan gaya hidup masyarakat dunia. Anggaran serantau menunjukkan bahawa, hampir separuh daripada kes baharu, kematian dan kekerapan kes kanser kolorektal dalam tempoh 5 tahun ditemui di benua Asia. Sebanyak 70% kes kanser kolorektal yang direkodkan adalah sporadik, dimana kes ini dipengaruhi oleh faktor persekitaran termasuklah tabiat pemakanan, aktiviti fizikal, tabiat merokok dan pengambilan alkohol. Manakala faktor lain seperti kecenderungan genetik dan disebabkan oleh sindrom seperti sindrom Lynch, polip adenomatous, polip yang berkaitan dengan Mutyh dan keadaan polip hamartomatous tertentu masing-masing menyumbang sebanyak 25% dan 5% kemunculan kanser kolorektal kepada pesakit [3,4].

Gambarajah menunjukkan struktur kolon (usus besar) dan rektum (dubur) manusia dan kondisi sel kanser di dalam kolon semasa prosedur kolonoskopi dilakukan [5]

Saringan kanser kolorektal melalui penggunaan kit pantas pengesanan darah tersembunyi di dalam najis (FOBT) dan prosedur kolonoskopi telah terbukti berkesan mengurangkan insiden kolorektal neoplasia dan seterusnya meningkatkan kelangsungan hidup pesakit [6,7]. Garis panduan umum mengesyorkan bahawa saringan kanser kolorektal sesuai dijalankan ke atas individu yang berumur lebih 50 tahun melalui ujian FOBT sama ada guaiac­based (gFIT) atau immunoasai (FIT), kolonoskopi dan sigmoidoskopi [8]. Melalui beberapa kajian yang telah dijalankan, penggunaan FIT untuk program saringan kanser kolorektal secara tahunan dilaporkan berkos efektif serta dapat mengurangkan kadar kematian sebanyak 30% [9]. Walau bagaimanapun, memandangkan piawaian emas bagi saringan kanser kolorektal masih lagi menggunakan kolonoskopi dimana kosnya yang agak mahal dan masa menunggu yang agak panjang, saringan awal menggunakan gabungan model skor risiko dan FIT boleh digunakan untuk mendapatkan kumpulan individu berisiko tinggi yang lebih tepat bagi menjalani pemeriksaan kolonoskopi yang lebih berkesan dan bersifat sasaran.

Model ramalan/saringan ringkas The Asia-Pacific Colorectal Screening (APCS) telah dibangunkan pada tahun 2011 melibatkan kajian awal yang terdiri daripada 860 subjek dan kemudiannya divalidasikan ke atas 1,892 subjek dari 11 lokasi bandar-bandar di Asia yang berbeza [10]. APCS yang dibangunkan mempunyai lima faktor risiko utama iaitu umur, jantina, sejarah keluarga yang menghidap kanser kolorektal dan tabiat merokok. Kesemua subjek tersebut telah melalui pemeriksaan kolonoskopi diikuti dengan saringan skor APCS yang dikira berdasarkan jumlah mata yang telah ditetapkan bagi setiap faktor risiko yang disebutkan di atas. Melalui jumlah mata tersebut, tiga kumpulan risiko ditakrifkan berdasarkan skor APCS ini; 0 – 1 (risiko rendah), 2 – 3 (risiko sederhana), dan 4 – 7 (risiko tinggi). Melalui kajian ini, kekerapan penghidap kolorektal neoplasia di dalam kumpulan risiko sederhana dan tinggi masing-masing mempunyai 2.6 dan 4.3 kali ganda berbanding risiko rendah.

Jadual di atas menunjukkan skor The Asia-Pacific Colorectal Screening yang dibangunkan pada tahun 2011 [10]

 

Satu kajian saringan kanser kolorektal turut dijalankan oleh Projek The Malaysian Cohort, UMBI-UKM menggunakan kit immunoasai (FIT) dengan keterlibatan seramai 2,264 individu sihat berumur di antara 35 – 65 tahun [11]. Kajian ini turut menggunapakai skor ramalan/saringan APCS yang telah dibangunkan dan mengenalpasti terdapatnya hubungkait ketara diantara kolorektal neoplasia dan kumpulan berisiko sederhana dan tinggi (3.46 – 11.14) berbanding kumpulan risiko rendah. Satu kajian lain telah dijalankan untuk meningkatkan lagi skor saringan APCS sedia ada dan menilai penggunaannya bersama kit immunoasai (FIT) [12].  Model baharu yang diubahsuai ini dibangunkan dengan menggabungkan kriteria umur, indeks jisim badan (BMI), sejarah keluarga, diabetes, tabiat merokok dan pengambilan alkohol sebagai faktor risiko dengan mengkelaskan kumpulan risiko hanya kepada dua iaitu risiko rendah dan tinggi. Laporan akhir menunjukkan penggunaan skor APCS yang diubahsuai ini bersama penggunaan kit immunoasai (FIT) mencapai nilai sensitiviti yang lebih tinggi iaitu 76.7% berbanding 36.7% jika penggunaan FIT sahaja dan 70.0% jika penggunaan skor APCS yang diubahsuai sahaja.

Kesedaran untuk menjalankan pengesanan awal kanser kolorektal di kalangan masyarakat adalah sangat penting dan perlu dititik beratkan. Ini kerana, kanser kolorektal telah menjadi beban kepada kesihatan awam terutama di negara Asia berdasarkan peningkatan kekerapan dan insiden yang dilaporkan. Perkara ini perlu ditangani dengan baik terutamanya di dalam sektor pendidikan kesihatan bagi meningkatkan kesedaran serta strategi pencegahan terhadap penyakit tersebut. Di negara barat, saringan penyakit kolorektal digalakkan ke atas penduduk yang berumur 50 tahun ke atas. Namun, di negara Asia, saringan ini disasarkan ke atas individu yang berisiko tinggi sahaja memandangkan kemudahan dan kepakaran dalam bidang kolonoskopi yang terhad serta kos yang tinggi perlu ditanggung. Mengambil kira akan kepentingan kesedaran dan pengesanan awal kanser kolorektal ini berikutan peningkatan kes dikalangan rakyat Malaysia, pihak UMBI dan Projek The Malaysian Cohort akan menjalankan satu kajian pengesananan awal kes kolorektal menggunakan skor APCS dan juga kit FOBT dibawah dana projek pusat kecemerlangan institusi tinggi (Hi-CoE) ke atas penduduk di sekitar Bandar Tun Razak dengan kerjasama oleh UMBI, DBKL dan juga HCTM. Usaha ini diharap dapat membantu memberikan pendedahan akan gejala awal kanser kolerektal, meningkatkan kesedaran, membantu rawatan awal dan salah satu langkah pencegahan daripada kanser kolorektal yang lebih serius.

 

Rujukan:

 

[1]        Sung H, Ferlay J, Siegel RL, Laversanne M, Soerjomataram I, Jemal A, Bray F et al. Global Cancer Statistics 2020: GLOBOCAN Estimates of Incidence and Mortality Worldwide for 36 Cancers in 185 Countries. CA Cancer J Clin. 2021 May;71(3):209-249. doi: 10.3322/caac.21660. Epub 2021 Feb 4.

[2]        Ferlay J, Ervik M, Lam F, Colombet M, Mery L, Piñeros M, et al. Global Cancer Observatory: Cancer Today. Lyon: International Agency for Research on Cancer; 2020 (https://gco.iarc.fr/today, accessed February 2021).

[3]        Jasperson KW, Tuohy TM, Neklason DW, Burt RW. Hereditary and familial colon cancer. Gastroenterology 2010;138:2044-2058.

[4]        Migliore L, Migheli F, Spisni R, Coppedè F. Genetics, cytogenetics, and epigenetics of colorectal cancer. J Biomed Biotechnol 2011;2011:792362.

[5]        https://www.utusanborneo.com.my/2017/11/06/mengenali-kanser-kolorektal

[6]        Tsoi KKF, Ng SSM, Leung MCM, Sung JJY. Cost-effectiveness analysis on screening for colorectal neoplasm and management of colorectal cancer in Asia. Aliment Pharm Ther. 2008;28(3):353–63.

[7]        Hewitson P, Glasziou P, Watson E, Towler B, Irwig L. Cochrane systematic review of colorectal cancer screening using the fecal occult blood test (Hemoccult): an update. Am J Gastroenterol. 2008;103(6):1541–9.

[8]        Benard F, Barkun AN, Martel M, von Renteln D. Systematic review of colorectal cancer screening guidelines for average-risk adults: summarizing the current global recommendations. World J Gastroenterol. 2018;24(1):124–38. https://doi.org/10.3748/wjg.v24.i1.124.

[9]        Shaukat A, Mongin SJ, Geisser MS, Lederle FA, Bond JH, Mandel JS, et al. Long-term mortality after screening for colorectal Cancer. New Engl J Med. 2013;369(12):1106–14. https://doi.org/10.1056/NEJMoa1300720.

[10]      Yeoh KG, Ho KY, Chiu HM, Zhu F, Ching JY, Wu DC, et al. The Asia-Pacific colorectal screening score: a validated tool that stratifies risk for colorectal advanced neoplasia in asymptomatic Asian subjects. Gut. 2011;60(9):1236–41. https://doi.org/10.1136/gut.2010.221168.

[11]     Noraidatulakma Abdullah, Nazihah Abd Jalal, Norliza Ismail, Mohd Arman Kamaruddin, Nurul Syakima Abd Mutalib, Mohd Raziff Alias, Luqman Mazlan, Ismail Sagap, Rahman Jamal, et al. Colorectal screening using the immunochemical faecal occult blood test kit among the Malaysian cohort participants.   2020:1877-7821 https://doi.org/10.1016/j.canep.2019.101656.

[12]      M. Lu, H. Chen, L. Wang, C. Liu, Y. Zhang, J. Ren, J. Shi, N. Li, M. Dai et al. Improvement of Asia-Pacific colorectal screening score combined with fecal immunochemical testing at adjusted thresholds in colorectal cancer screening. BMC Gastroenterology (2019) 19:226 https://doi.org/10.1186/s12876-019-1146-2