Majlis Pelancaran Horizon Penyelidikan Psikologi dan Pendidikan Minda Afektif (H3PMA)
𝐔𝐊𝐌 𝐀𝐧𝐣𝐮𝐫 𝐇𝐨𝐫𝐢𝐳𝐨𝐧 𝐏𝐞𝐧𝐲𝐞𝐥𝐢𝐝𝐢𝐤𝐚𝐧 𝐏𝐬𝐢𝐤𝐨𝐥𝐨𝐠𝐢 𝐝𝐚𝐧 𝐏𝐞𝐧𝐝𝐢𝐝𝐢𝐤𝐚𝐧 𝐌𝐢𝐧𝐝𝐚 𝐀𝐟𝐞𝐤𝐭𝐢𝐟
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui kerjasama antara Fakulti Pendidikan dan Yayasan Canselor telah menganjurkan Majlis Pelancaran Horizon Penyelidikan Psikologi dan Pendidikan Minda Afektif (H3PMA) di Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Kanak-Kanak UKM (Hospital TABTAR).
Penubuhan H3PMA merupakan satu inisiatif strategik Fakulti Pendidikan dalam membangunkan pusat penyelidikan transdisiplin yang berperanan sebagai platform intervensi serta khidmat kesejahteraan minda, khususnya kepada kanak-kanak dan remaja daripada golongan berpendapatan rendah. Antara perkhidmatan yang ditawarkan termasuk penilaian psikologi, pengujian neuropsikologi, psikoterapi serta perkhidmatan psikologi klinikal oleh pakar Fakulti Pendidikan.
Majlis yang dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat) Prof. Dr. Bariah Mohd Ali, turut menampilkan sesi perkongsian ilmu oleh Prof. Dr. Sommer Werner dari Humboldt University of Berlin, Jerman, selaku rakan penyelidik dalam pembangunan H3PMA.
Pada majlis ini, turut diadakan penyerahan cek cura hasil Sumbangan Konsert Malam Wakaf Rakyat 2025 (MAWAR 2025) kepada Hospital TABTAR berjumlah RM7,605.82 serta sumbangan Peralatan Pembelajaran Oasis Minda@Sekolah dalam Hospital berjumlah RM4,784.96.
Semoga usaha kolaboratif ini terus memperkukuh peranan universiti dalam memperkasa kesejahteraan masyarakat melalui penyelidikan dan intervensi berimpak tinggi.
Turut hadir, Dekan Fakulti Pendidikan, Prof. Dr. Mohd Mahzan Awang; Pengarah Yayasan Canselor, Prof. Ts. Dr. Faizal Mohamed serta Wakil Pengarah Hospital TABTAR, Datin Dr. Anita Sulong.









