Memorandum Persefahaman (MoU) antara UKM & Persatuan Pelancongan Mersing
Kerjasama ini diterjemahkan dengan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangai oleh Naib Canselor UKM, Prof Dr Sufian Jusoh dan Pengerusi MTA, Tuan Sheikh Zulkifli Sheikh Abdul Rahim.
Kerjasama yang dijalin melalui Yayasan Canselor dan Pusat Pengurusan Makmal Alami dan Fizikal (ALAF-UKM) ini adalah bagi menyerlahkan pelancongan bumi Mersing yang kaya dengan khazanah semula jadi, biodiversiti marin, serta warisan budaya yang unik melalui penyelidikan, pemindahan ilmu, penglibatan komuniti dan Pendidikan Lestari.
Selain itu, objektif kerjasama ini antaranya untuk melahirkan jurupandu muda berkemahiran dalam Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar sekolah menengah dan rendah di sekitar Mersing, menyediakan latihan keusahawanan dan melengkapkan Modul Profesional Latihan kepada pemandu pelancong.
Naib Canselor berharap agar kehadiran UKM bersama komuniti akan dapat menyumbang secara langsung kepada pemerkasaan masyarakat dan kelestarian alam.
Turut hadir Yang Dipertua Majlis Daerah Mersing, Tuan Haji Mohd Norman Haji Noh; Pengarah Yayasan Canselor, Prof. Ts. Dr. Faizal Mohamed, yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat serta Pengarah Pusat IDEA, Prof. Dr. Jamia Azdina Jamal, yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi.
Sementara itu, Prof Dr Sufian turut meluangkan masa melawat Pusat Penyelidikan Ekosistem Marin (EKOMAR) dan mendengar taklimat daripada Pengarah ALAF-UKM, Prof Madya Dr Wan Mohd Aizat Wan Kamaruddin berkenaan pengoperasian pusat penyelidikan tersebut.
#yayasancanselorUKM
#UniversitiKebangsaanMalaysia
#IlmuMutuBudi
#UKM











