Program Sentuhan Kasih Ramadhan HEJIM-UKM 3.0
𝐔𝐊𝐌 𝐑𝐚𝐢 𝟔𝟐 𝐀𝐧𝐚𝐤 𝐘𝐚𝐭𝐢𝐦 𝐝𝐚𝐧 𝐏𝐞𝐥𝐚𝐣𝐚𝐫 𝐓𝐚𝐡𝐟𝐢𝐳
Semangat kebersamaan dan keprihatinan terus disemarakkan apabila Yayasan Canselor (YC) bersama Pusat Jaringan Industri dan Komuniti (I-KOM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menganjurkan Program Sentuhan Kasih Ramadhan HEJIM-UKM 3.0 di Kompleks Raudhoh Tahfidz Al-Quran.
Program ini merupakan inisiatif di bawah portfolio Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat (TNC HEJIM) yang memperkukuh sinergi antara universiti, industri dan komuniti dalam menyebarkan nilai kemanusiaan dan kepedulian sosial, khususnya dalam keberkatan bulan Ramadhan.
Seramai 62 orang anak yatim daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tekali, SK Batu 9, SK Tun Abdul Aziz Majid serta para pelajar tahfiz Kompleks Raudhoh Tahfidz Al-Quran telah disantuni melalui program ini yang sarat dengan pengisian penuh kasih sayang dan kebersamaan.
Kejayaan program ini turut disokong oleh komitmen para sukarelawan, warga kerja UKM serta rakan industri iaitu Task Emergency Medical Services (TEMS), Ajwa Bakery dan UKM Dagang yang menyumbang tenaga, masa dan sumbangan bagi memastikan setiap detik program membawa makna kepada komuniti yang disantuni.
Majlis disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof. Dr. Bariah Mohd Ali. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa UKM bukan sahaja berperanan sebagai institusi ilmu, tetapi turut memikul tanggungjawab sebagai pemangkin kesejahteraan sosial melalui program yang merapatkan hubungan antara industri dan masyarakat.
Semoga inisiatif seperti ini terus berkembang sebagai program tahunan yang lebih luas jaringannya dan lebih besar impaknya, sekali gus memperkukuh budaya menyantuni masyarakat serta menyemai nilai kasih sayang dalam bulan Ramadhan yang penuh keberkatan.
Turut hadir Pengarah YC, Prof. Ts. Dr. Faizal Mohamed, wakil Kompleks Raudhoh Tahfidz Al-Quran, Ustaz Ahmad Tarmizi dan Pengarah I-KOM, Dr. Aida Hanim A. Hamid.













