Siri Wacana ATMA: Seni Silat Melayu dan Majlis Pelancaran Buku Silat Cekak Silat Akademik

Sukacita di maklumkan bahawa Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM akan mengadakan Siri Wacana bertajuk Seni Silat Melayu dan Majlis Pelancaran Buku Silat Cekak Silat Akademik oleh Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia. Dijemput semua untuk turut hadir.


Sinopsis

Seni Silat Melayu adalah salah satu perlambangan Akal Budi Melayu yang di dalamnya mencerminkan falsafah, pemikiran, perlakuan, emosi dan gaya hidup orang Melayu di Nusantara. Seni Silat Melayu mempunyai asas ilmunya yang tersendiri digabungkan dalam lima aspek iaitu fizikal, mental, emosi, spiritual dan sosial yang perlu diselami dan dikupas secara ilmiah agar ilmu Seni Silat Melayu dapat dihargai dan menjadi relevan sepanjang zaman. Kelompangan dalam dokumentasi Seni Silat Melayu menyukarkan para penyelidik dan peminat silat menjalankan penyelidikan mengenai Seni Silat Melayu.

Wacana ini bertujuan menjemput Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) untuk berkongsi maklumat dan ilmu mengenai falsafah, sejarah, sumbangan PSSCM dalam dunia akademik dan pembangunan modal insan warga Malaysia serta berbincang secara ilmiah mengenai seni dalam pergerakan silat yang dimanifestasikan melalui bunga silat, buah silat, dan pelbagai teknik dalam mengelak, menepis, menangkis, mengunci, mematah, dan melumpuhkan musuh. Wacana ini juga akan memfokus kepada aspek akhlak dan produktiviti pesilat dalam proses pembangunan modal insan dan jati diri negara bangsa.Wacan ini juga akan menyaksikan majlis menandatangani MOU atau Memorandum Persefahaman antara UKM dan PSCM untuk aktiviti wacana, bengkel, seminar, kursus, penerbitan bersama
dan program rasmi universiti.

Wacana ATMA Seni Silat Melayu ini akan dijalankan secara bersiri selama 3 tahun dan menjemput sebanyak mungkin organisasi Silat di Malaysia, disusuli dengan organisasi Silat dari Indonesia, Singapura, Brunei dan Selatan Thai yang merupakan Rumpun Melayu di atas pentas Sunda.

Adalah dharapkan keberhasilan wacana ini akan dapat dijelmakan dalam bentuk dokumentasi yang terdiri daripada teks, foto, audio dan video yang akan dimuatkan dalam pangkalan data di dalam Portal Pengajian Alam yang boleh dicapai di malaycivilization.com.my untuk tujuan rujukan dan aktiviti penyelidikan sebagaimana yang digariskan dalam perancangan strategi ATMA yang beriltizam menjadi pusat rujukan tersohor dalam pengajian Alam Melayu di dunia ini.

Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA),
Universiti Kebangsaan Malaysia,
43600 UKM, Bangi
Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
Tel: 603 8921 5280
Faks: 603 8925 4698
Emel: pghatma@ukm.edu.my