Wacana ATMA- Darah, Bekam & Urut dari Perspektif Etno-Sains Perubatan Alam Melayu

Sinopsis

Perkataan Latin “sains” bermaksud ilmu. Sebelum sains moden menguasai ilmu perubatan moden, setiap masyarakat dari pelbagai etnik mempunyai ilmu dan kaedah pengubatan atau rawatan yang diamalkan berdasarkan ilmu kearifan tempatan. Selain daripada ilmu lokal dalam pengubatan yang dibina dan dikumpulkan ribuan tahun, pengalaman merawat adalah satu aset yang terlalu berharga bagi perawat dan komunitinya. Gabungan ini disebut sebagai etno-sains perubatan.

Perawat etnik masa lampau mungkin tidak mempunyai penjelasan dari sudut sains moden dalam amalan mereka seperti berbekam dan mengurut tetapi mampu memberi kesan dalam rawatan mereka ke atas pesakit, dan pesakit pula menyatakan mereka pulih dari sakit.

Bekam adalah amalan etnik yang sudah diamalkan sebelum kelahiran Nabi Muhammad s.a.w., tetapi amalan ini diterima dan dilakukan oleh Nabi. Maka bekam menjadi amalan sunnah. Hari ini, ilmu tentang darah dalam sains moden dan perubatan moden dapat menjelaskan kesan positif amalan bekam yang diamalkan oleh etnik Melayu dan Cina di negara ini.

Manakala amalan urut anggota badan yang melibatkan urat saraf dan pengaliran darah juga sudah diamalkan sejak zaman pra-sejarah dalam pelbagai etnik. Hari ini sains moden dan perubatan moden boleh menjelaskan kesan urut ke atas anggota badan manusia. Malah sub-bidang perubatan iaitu fisiologi dan fisioterapi mempunyai kaitan rapat dengan amalan urut, walaupun bidang fisioterapi lebih luas dari kaedah mengurut.

Wacana ini bertujuan menggabung ilmu moden dan ilmu lokal atau kearfifan tempatan dalam mengukuhkan kefahaman mengenai etno-sains perubatan Alam Melayu. Gabungan doktor perubatan dan pengamal perubatan etnik bergabung berkongsi ilmu dan pengalaman dalam mengadunkan dan menghubungkaitkan antara antara sains perubatan universal dan etno-sains perubatan adalah satu yang amat dinantikan.

 

Institut Alam dan Tamadu7n Melayu (ATMA),
Universiti Kebangsaan Malaysia,
43600 UKM, Bangi
Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
Tel: 603 8921 5280
Faks: 603 8925 4698
Emel: pghatma@ukm.edu.my