Pengenalan

SISTEM SOKONGAN PEMBUAT KEPUTUSAN (DSS) DALAM PENGURUSAN BANJIR: KAJIAN KES DI BANDAR  KAJANG, KAJANG SELANGOR

 Ringkasan

Bidang  kajian: Hidrologi

Jenis risiko kajian: Banjir

Kawasan kajian: Bandar Kajang, Kajang Selangor

Jenis dialog: Akses maklumat kepada peniaga dan masyarakat awam berkenaan risiko banjir kilat melalui pelan keselamatam dan kawasan tenggelam banjir (kejadian sebenar dan peramalan)

PENGENALAN

Sistem Sokongan Pembuat  Keputusan (Decision Support System- DSS) merupakan satu sistem maklumat yang direkabentuk untuk mentafsir, menterjemah dan sebagai sumber komunikasi berasaskan sains maklumat yang dapat memberikan sumbangan dalam menyokong keperluan pengguna iaitu komuniti yang berisiko(para peniaga dan pengusaha), masyarakat awam dan para pembuat keputusan khususnya yang melibatkan kemusnahan harta benda dalam skala yang besar iaitu bencana banjir, samada banjir musiman dan banjir kilat di kawasan yang selalu menjadi kawasan tumpuan banjir.

Kemajuan yang berlaku dalam bidang kejuruteraan dan hidrologi menjana pelbagai kaeadah baru yang bersifat saintifik khususnya untuk ramalan berkenaan cuaca dan peramalan banjir. Melalui penemuan kaedah baru ini akan dapat memberi satu bentuk kejayaan secara praktikal kepada para penyelidik yang seterusnya memberi sumbangan kepada masyarakat melalui perkongsian maklumat dan teknologi.

Kajian berkenaan Sistem Sokongan Pembuat Keputusan (DSS) ini merupakan projek rintis berkaitan banjir yang buat masa ini  hanya memberi tumpuan terhadap bidang hidrologi sahaja. Kajian ini merupakan kajian yang dibiayai oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Geran Universiti-Arus Perdana (UKM-AP-PLW-05-2010) dibawah nic Pembangunan Lestari Wilayah yang ditadbir oleh Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) UKM.

KAJIAN KES: BANDAR KAJANG, KAJANG SELANGOR

Bandar Kajang terletak dalam Daerah Hulu Langat yang merupakan daerah kelima terbesar dalam Negeri Selangor. Kajang ditadbir oleh Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) mempunyai keluasan 9,298 hektar. Kajang merupakan kawasan yang mengalami perubahan guna tanah yang maju dan pesat dalam jangkamasa yang singkat. Ini kerana Kajang terletak dalam geografi yang rata dan dalam lingkungan dan limpahan daripada pembangunan Bandaraya Metropolitan Kuala Lumpur dan juga Wilayah Persekutuan Putrajaya. Bandar Kajang dan Bandar Baru Bangi merupakan dua bandar yang mengalami perubahan guna tanah secara drastik khususnya melibatkan kegiatan pembangunan seperti pembinaan penempatan-penempatan baru iaitu kediaman, perniagaan, perkhidmatan serta institusi-institusi dan kemudahan masyarakat.

Bandar Kajang terletak di pertembungan dua sungai iaitu Sungai Langat iaitu sungai utama dan Sungai Jeloh. Kedua-dua sungai ini berada dalam bandar Kajang yang merupakan faktor utama kepada kekerapan berlakunya banjir di Bandar Kajang. Hampir keseluruhan bandar Kajang dimonopoli oleh kegiatan perniagaan, perkhidmatan dan pentadbiran dan perumahan di bahagian tenggara dan barat bandar Kajang.

Lembangan Sungai Langat