Pelajar Perlu Yakin Dengan Kebolehan Diri- Dato’ Izaddin


Oleh Nadia Sapuan
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 21 Mac 2017 – Pelajar yang mahu berjaya perlu memiliki tingkah laku yang baik dan betul serta sentiasa dahagakan keinginan untuk berjaya, kata Ketua Pegawai Eksekutif United Engineers Malaysia Berhad (UEM), Dato’ Izaddin Idris di Program CEO Talk For CEO@Faculty baru-baru ini.

Beliau berkata pelajar perlu mengelak daripada membuat sesuatu tugasan dengan tergesa-gesa atau berasa bosan membuat kerja yang sama, tetapi jadikannya sebagai sesuatu peluang untuk maju ke hadapan.

Dalam syarahan yang bertajuk Be Brave…Be Very Brave, Its A Big World Out There, beliau  turut memberi nasihat kepada pelajar UKM supaya melakukan sesuatu kerja dengan hati yang gembira.

“Jika anda gembira, hasil kerja tersebut akan menjadi lebih baik,” katanya.

Empat pelajar daripada Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina yang telah menjawab soalan dengan betul diberi peluang menaiki helikopter UEM bagi melihat situasi trafik Kuala Lumpur, manakala enam pelajar lain yang juga dari jurusan kejuruteraan berpeluang membuat sesi soal jawab secara lebih dekat bersama Dato’ Izaddin.

Turut hadir pada program ini ialah Naib Canselor UKM, Prof Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof Datuk Dr Imran Ho Abdullah.

Program tersebut dianjur oleh Pejabat Hubungan Industri  (PHI) dan bertujuan untuk menjelaskan peranan pelajar UKM dalam menghadapi cabaran masa kini dan persiapan mereka untuk menghadapi pekerjaan dalam era globalisasi.