Perayaan Winter Solstice di UKM Meriah

01
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 16 Dis 2014 – Pelajar dan kakitangan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah meraikan perayaan Winter Solstice pada majlis yang dianjurkan oleh Kolej Kediaman Ibrahim Yaakub.

Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) Prof Dr Imran Ho Abdullah ketika merasmikan sambutan di sini malam tadi, berkata ia mempunyai makna khas dalam kalendar Cina tradisional.

“Winter Solstice adalah hari apabila keluarga berkumpul dan mempunyai satu majlis makan malam hidangan tradisional.

“Ia diharapkan dapat membentuk kesefahaman dan integrasi antara kaum, melengkapi siswa/i dengan daya kepimpinan yang membawa kepada keharmonian dan pencapaian akademik yang cemerlang,” kata beliau.

Winter Solstice ialah hari yang paling ringkas, atau malam yang paling panjang, pada sesuatu tahun itu.

Dalam perayaan tradisional Winter Solstice Cina, juga dikenali sebagai Dong Zhi (冬至) dalam bahasa Mandarin, mereka yang menyambut perayaan akan makan  Tang Yuan (湯圓), sup gula diperbuat daripada bola beras pulut.

Walau bagaimanapun, pada perayaan ini yang diadakan di Dewan Anwar Mahmud, Fakulti Sains dan Teknologi, tetamu menggunakan kupon mereka untuk membeli makanan seperti cendol, rojak, satay, mi goreng, kek, wafel dan lain-lain di gerai-gerai yang disediakan.

Tetamu turut dihiburkan dengan persembahan pelbagai nyanyian yang dilakukan oleh pelajar dan artis undangan seperti Bell dan Josh Kua.

Salah seorang tetamu menyatakan asal-usul Dong Zhi di Cina kuno menandakan kedatangan musim sejuk apabila petani menyimpankan  peralatan mereka untuk meraikan hasil tuaian mereka dan sambutan  diadakan untuk meraikan majlis khas tersebut.

“Ia adalah masa apabila keluarga Cina yang masih memegang kepada tradisi lama berusaha menguatkan tali silaturahim sebagai sebuah keluarga dan menikmati tang yuan,” katanya.

Seorang lagi yang memperingati peristiwa itu berkata ia dapat dikesan dengan kepercayaan orang Cina kepada Yin dan Yang, yang menandakan keseimbangan dan keharmonian hidup.

“Adalah dipercayai bahawa ‘Yin’ mewakili Kegelapan dan Kesejukkan dan adalah paling kuat semasa Solstis Musim Sejuk, tetapi ia juga menandakan ketibaan ‘Yang’ yang membawa cahaya dan kemesraan,” jelas beliau.ukmnewsportal-bm
02

03

04

05

06