Tubuh Lebih banyak Kursi Pengajian Bahasa Melayu Di Seluruh Dunia – PM

1
Oleh Saiful bahri Kamaruddin
Pix Ikhwan Hashim

PUTARJAYA, 8 Ogos 2015 – Universiti-universiti awam tempatan, termasuk Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), harus bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi tersohor di seluruh dunia bagi menubuhkan lebih banyak  Kursi Pengajian Bahasa Melayu.

Ini sebagai usaha memartabatkan bahasa Melayu dalam era ledakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Justeru Kementerian Pendidikan Tinggi perlu terus mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan di luar negara untuk tujuan kerjasama tersebut, kata Najib ketika merasmikan pertandinga Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) 2015 peringkat akhir di sini hari ini.

“Akibat perkembangan dan ledakan ICT ini, sedikit sebanyak telah memberikan cabaran baharu kepada bahasa Melayu, untuk memasuki alam siber dan seterusnya bersaing dengan bahasa-bahasa lain yang lebih dominan,” katanya.

Najib berkata Bahasa Melayu boleh disampaikan kepada masyarakat antarabangsa jika usaha dilakukan untuk membekalkan bahan bacaan dan rujukan, mengeksport filem tempatan yang menonjolkan bahasa Melayu dan budaya Malaysia serta membangunkan portal.

“Bahasa Melayu juga perlu dipromosi melalui penglibatan negara ini dalam pergerakan dan persidangan antarabangsa.

“Saya juga menyaran Kementerian Pendidikan Tinggi, Dewan Bahasa dan Pustaka serta syarikat-syarikat penerbitan bekerjasama membekalkan bahan bacaan dan rujukan, khususnya tentang Tamadun Melayu serta Malaysia kepada masyarakat antarabangsa.

“Ini termasuklah mengeksport filem tempatan yang menonjolkan bahasa Melayu dan budaya Malaysia,” tambah beliau.

Beliau berkata meskipun bahasa Inggeris diberi ruang untuk berkembang dalam sistem pendidikan negara tetapi kerajaan tetap menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam pendidikan dan pengantaraan rasmi di negara ini.

PABM 2015 disertai 71 pelajar jurusan pengajian bahasa Melayu di institusi-institusi pengajian tinggi di seluruh dunia dan dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Alam Melayu, Antarabangsa dan kategori Pelajar Antarabangsa Di Malaysia.ukmnewsportal-bm
2

3