UKM Buka Pusat Kesihatan Pertama

4
Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

KUALA LUMPUR, 9 Mei 2016 – Fakulti Sains Kesihatan (FSK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baru sahaja membuka pusat kesihatan pertama FSK Fitness Centre untuk menggalakkan gaya hidup sihat di kalangan kakitangan dan pelajar di Kampus KL.

Penyelaras FSK Fitness Centre, Prof Dr Poh Bee Koon berkata, buat masa ini ia  hanya dibuka kepada masyarakat UKM.

Walau bagaimanapun, semasa pelancaran tersebut di sini baru-baru ini, rakan-rakan dan sanak-saudara kakitangan turut mencuba peralatan gimnasium.

“Selain menggunakan peralatan gimnasium, mereka juga mengambil bahagian  dalam senaman aerobik, yoga dan Zumba,” katanya selepas majlis perasmian.

Menurut beliau sebelum membuka gym kepada orang ramai, mereka akan menambah peralatan untuk melengkapkan pusat kecergasan.

Beliau menjelaskan bahawa langkah seterusnya adalah untuk menawarkan sesi kaunseling dengan pemakanan dan dietetik oleh para pakar kepada pengguna gimnasium.

Selepas itu pusat kesihatan mungkin menawarkan pemeriksaan kesihatan, kaunseling pemakanan dan nasihat kesihatan.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dato’ Dr Mazlin Mokhtar, yang merasmikan majlis itu, berkata FSK Fitness Centre satu jenama yang diletakkan di bawah cabaran blue print pendidikan tinggi negara yang dahulunya adalah kesinambungan daripada pelan strategik pendidikan tinggi negara.

Beliau menegaskan bahawa kemudahan itu adalah salah satu cara untuk mengeratkan hubungan antara ahli akademik, industri dan masyarakat di samping menyediakan peluang-peluang keusahawanan kepada pelajar.ukmnewsportal-bm

2

3