UKM, UI boleh bantu sediakan fakta benar membaiki persepsi buruk rakyat Indonesia terhadap Malaysia

KHAMIS, 14 OKTOBER 2010 20:16

Oleh Abdul Ghani Nasir

BANGI, 13 Okt. 2010 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universitas Indonesia (UI) harus bekerjasama mengadakan segera pangkalan data untuk menangkis persepsi buruk rakyat Indonesia terhadap Malaysia.

Pangkalan data demikian yang memuatkan fakta-fakta yang mudah dicapai media boleh membantu memberikan gambaran sebenar mengenai pelbagai isu yang digembar gemburkan media Indonesia hingga membawa kepada ketegangan hubungan rakyat kedua negara sekarang ini.

Usaha ini harus dipercepatkan berikutan wujudnya amalan negatif pihak media baik akhbar mahupun stesen televisyen di Jakarta yang dituduh ‘mengambil alih’ isu hingga mencipta ketidakpastian.

Pegawai Kedutaan Malaysia pula diminta agar tidak menyisihkan diri dari mendekati rakyat Indonesia tetapi berusaha menjalinkan hubungan rapat dengan pemilik media dan sidang redaksi akhbar serta wartawan berpengaruh di Jakarta.

Mereka tidak seharusnya hanya memberi tumpuan kepada hubungan kerajaan dengan kerajaan sahaja yang sememangnya pun sudah akrab.

Demikian antara pendapat ahli panel forum bertajuk: “Kerjasama serantau  Malaysia-Indonesia “ di akhir sesi seminar SEBUMI 3, anjuran Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM di sini.

Prof. Dr Samsudin Rahim bertindak sebagai moderator dengan Indonesia diwakili Dr Musni Umar, Juru Bicara Kelompok Pakar, Indonesia-Malaysia; Prof Dr Erman Anom dari Universiti Esa Unggul, Jakarta; Dr Ahmad Mukhlis Yusuf, dari ANTARA dan Prof Dr Bachtiar Ali dari UI.

UKM diwakili Prof, Madya Dr Mohamad Agus Yusoff; Prof Madya Dr Abd Rahim Aman, Datuk Ahmad Rejal Arbee, Felo Kanan, Pusat Komunikasi Korporat dan Zulkefli Salleh dari BERNAMA.

Dr Erman berkata UKM boleh mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan sebuah Pusat Kajian Malaysia-Indonesia.

Dengan cara ini, pelbagai persoalan dan isu yang timbul dapat dikaji dan huraian dicari “hingga tidak ada pendustaan di antara kita.”

Zulkefli berpendapat ada baiknya Indonesia menghentikan penghantaran pembantu rumah ke Malaysia sebaliknya menghantar profesor dan jurutera.

Beliau menarik perhatian terhadap anggapan pembantu rumah sebagai ‘hamba’ dan kehadiran mereka memberi gambaran buruk kepada rakyat di Malaysia walaupun pada lewat tahun 60-an, kebanjiran filem menarik Indonesia telah mengangkat martabat masyarakat negara jiran itu di mata penduduk di sini.

Tindakan tidak lagi menghantar pembantu rumah itu mungkin satu cadangan yang radikal tetapi Zulkefli berpendapat ia perlu bagi mengelakkan penganiayaan yang walau pun jarang berlaku tetapi sering digunakan media Indonesia hingga menjadi isu hangat.

Pangkalan data pula, katanya, dapat membantu memberi fakta betul mengenai sesuatu isu dan tidak mudah diputarbelitkan oleh pihak media.

Rejal pula berkata Malaysia sememangnya mempunyai masalah dalam hubungan dengan semua jirannya bersabit berbagai isu melibatkan persempadanan tetapi isu-isu melibatkan Indonesia diberikan gambaran terlalu buruk oleh media di sana.

Media Indonesia, katanya, jelas terlalu bebas dan gagal mengawal kebebasan yang dinikmati. Beliau memberi contoh bagaimana stesen televisyen mengulang tayang sesuatu isu tegang dan insiden hingga mencetuskan kebencian rakyat Indonesia terhadap Malaysia.

Malangnya kedutaan Malaysia di Jakarta tidak bersikap proaktif dengan mendampingi mereka yang bermusuhan dan menyarankan duta Malaysia  mendampingi pihak media baik pemilik, pengarang mahu pun wartawan berpengaruh.

Ahmad Mukhlis beranggapan sistem politik yang berbeza di antara Malaysia dengan Indonesia menyebabkan persepsi pihak media mengenai sesuatu isu juga berbeza.

Bagaimanapun, fakta mengenai sesuatu isu amat penting diketengahkan kerana “kita perlukan kajian akademik dan lebih banyak akhbar yang berwibawa.

“Malangnya tindak balas daripada pemimpin apabila tercetus sesuatu isu, amatlah lambat pada hal “segala-galanya hanya memerlukan satu panggilan telefon saja.

“Tanpa campur tangan dan kenyataan pemimpin-pemimpin krisis sering berlanjutan melibatkan media dan sentimen orang ramai boleh diapi-apikan. Akibatnya persepsi yang salah itu berlarutan,” katanya.

Beliau menyarankan agar UKM dan UI sama-sama berusaha mengatasi persepsi yang salah itu dengan mungkin menyiap dan menyediakan pek maklumat yang standard atau sediakan kertas penyelidikan dan fakta .

“UKM dan UI juga mungkin boleh melantik pegawai bertanggungjawab bagi menyebarkan fakta, menjadi kumpulan pakar rujuk yang berwibawa agar persepsi salah itu diperbetulkan.

“Universiti mempunyai tanggungjawab sosial untuk membantu meredakan keadaan,” tambahnya.

Dr Agus menarik perhatian betapa laporan negatif media Jakarta membuat beliau diberi amaran setiap kali mahu berjalan-jalan di ibu kota itu terutama bila terdapat isu hangat dibesar-besarkan.

Beliau memberi contoh satu laporan akhbar Republika yang memberi gambaran rakyat Malaysia sombong kerana ada majikan yang enggan membayar gaji pekerja  dan pembantu rumah didera.

Beliau juga menyorot kepada bagaimana kes-kes penderaan pembantu rumah memakan masa terlalu lama untuk diselesaikan di mahkamah hingga memberi gambaran buruk terhadap sistem kehakiman Malaysia.

Masalah tuntutan bertindih Ambalatt juga menjadi isu berlarutan yang seharusnya sudah dihuraikan.

Tetapi setiap kali timbul krisis seperti itu media dibiarkan bebas memutarbelitkan fakta hingga sering menyalahgunakan kebebasan akhbar.

“Kita harus ingat Malaysia dan Indonesia dipisahkan di segi geografi saja tetapi kita seagama. Setakat ini tidak ada isu besar yang benar-benar boleh menggugat hubungan dua hala di antara kita. Air dicincang tidak akan putus,” tambah beliau.