Majlis Anugerah Sukan Ke-24 UKM Dan Pelancaran UKM FC

ISNIN, 28 APRIL 2014 14:14

Oleh Nurul Haziqah Abdul Halim
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 25 April 2014 – Pemain bola sepak Reuben Thayaparan dan pemain sofbol Nor Fatin Syuhada bt Abu Bakar telah dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi tahun 2013.

Pemilihan mereka diumumkan pada Majlis Anugerah Sukan Tahunan Ke-24 UKM di DECTAR minggu lalu.

Mereka menerima piala, sijil dan wang tunai RM1000 yang disampaikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Razali Ibrahim.

Dato’ Razali juga menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang bagi 21 kategori sukan dan melancarkan Kelab Bola Sepak (UKM FC) di majlis itu. UKM FC telah ditubuhkan pada tahun 2013 untuk mengambil bahagian dalam Liga FAM. Antara pencapaiannya adalah menjadi Juara Piala Menteri KPT 2012, tempat kedua dalam Liga IPT pada tahun 2013 dan sekarang, mendahului Liga IPT 2014 dalam Divisyen 1.

Anugerah Olahragawan bagi kategori kakitangan lelaki dimenangi oleh pemain sepak takraw Mohd Muqlis Borhan, manakala Anugerah Olahragawati dimenangi pemain bola tampar Iza Nurfitriana Mohd Nor.

Dato’ Razali seorang alumni UKM dalam ucapannya menceritakan pengalaman tinggal di kampus UKM sebagai pelajar undang-undang sekitar 20 tahun lalu dan ketika beliau menjadi kapten pasukan ragbi UKM.

Ketua Pegawai Eksekutif CEO Jasmine Food Corporation Sdn Bhd, Lim Swee Keat yang menghadiri majlis itu telah menderma RM50,000 kepada UKM untuk perbelanjaan pengurusan UKM FC. Beliau menyerahkan replika cek kepada Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof Datin Noor Aziah Hj Mohd Awal.