JAWATANKUASA ANTIRASUAH (JAR) UKM

Latar Belakang

Merujuk kepada Arahan YAB Perdana Menteri No.1 2018 – Pemantapan Governans, Integriti dan Anti-rasuah dalam Pengurusan Pentadbiran Kerajaan Malaysia: Mekanisme Pengurusan Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Kebangsaan, yang bertujuan mendukung usaha memperkukuhkan Sistem Pengurusan Pentadbiran Kerajaan dan memastikan ianya bebas rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan, Kerajaan telah bersetuju supaya Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Keutuhan Pengurusan Kerajaan (JKKMKPK) dipinda kepada Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) pada 8 Jun 2018. JKKMAR ini diletakkan di bawah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC).

Dua Jawatankuasa utama bertindak sebagai penggerak kepada inisiatif di atas ialah Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) dan Jawatankuasa Anti Rasuah (JAR), di mana objektif kedua-dua jawatankuasa ini ialah :

  1. Meningkatkan komitmen Kerajaan merangkumi semua sektor dalam pembanterasan rasuah sekaligus meningkatkan imej negara;
  2. Menjana sinergi dalam memastikan sistem pentadbiran Kerajaan dapat digerakkan dalam persekitaran sifar toleransi terhadap rasuah; dan
  3. Memperkukuh kualiti sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan berteraskan prinsip ketelusan, akauntabiliti serta berdaya saing.

Sehubungan itu, bagi memastikan kelangsungan pelaksanaan Pemantapan Governans, Integriti dan Anti Rasuah dalam pengurusan pentadbiran Kerajaan, Arahan ini turut menetapkan semua KSU Kementerian, SU Kerajaan Negeri, Ketua Perkhidmatan, Ketua Jabatan dan Ketua Agensi Persekutuan untuk menubuhkan JAR di peringkat masing-masing. Berikut disertakan lampiran struktur aliran pelaksanaan jawatankuasa khas kabinet mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) dan JAR.

Selain itu juga, berdasarkan Arahan YAB Perdana Menteri No.1 2018, Siri 2 No.1 Tahun 2019 – Pelaksanaan Pelan Anti Rasuah Nasional telah menetapkan pelaksanaan membangunkan Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) dan Mesyuarat JAR ialah sebagai platform dan mekanisme tertinggi untuk tujuan pemantauan pelaksanaan OACP di peringkat Agensi. Pelan OACP ini akan diterjemahkan dalam Pelan Tindakan Integriti UKM 2021-2025.

Empat terma rujukan pemantapan governans, integriti dan anti-rasuah dalam pengurusan pentadbiran Kerajaan yang dinyatakan menerusi Arahan tersebut adalah seperti berikut:

1. Dasar, Perundangan dan Peraturan

Mengenal pasti, mengkaji serta memperaku pindaan atau keperluan kepada mana-mana dasar dan perundangan serta peraturan yang dapat mengatasi kelemahan pengurusan, mempertingkatkan kawalan dalaman terhadap pelanggaran integriti, perlakuan rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan dan kelemahan governans.

2. Sistem dan Prosedur Kerja

Mengenal pasti dan mengkaji kelemahan atau keperluan sistem dan prosedur kerja agensi yang lapuk ataupun terlalu rumit sehingga menimbulkan pelbagai karenah birokrasi, melemahkan pentadbiran, ketidakadilan serta membuka peluang kepada perlakuan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa. Agensi hendaklah mengambil tindakan untuk menambah baik dan memperakukan apa-apa perubahan dalam sistem dan prosedur kerja yang berkaitan serta memaklumkan kepada seluruh warga kerja agensi.

3. Pengukuhan Governans dan Integriti

Mengenal pasti isu dan tindakan yang bersesuaian bagi memperkukuh aspek governans dan integriti melalui inisiatif pencegahan, penggalakan dan pembudayaan governans dan penginstitusian integriti secara terancang bagi mencegah pelanggaran ingtegriti, perlakuan rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan dan kelemahan governans.

4. Pengesanan, Pematuhan, Punitif dan Pemulihan

Melaksanakan tindakan pengesanan, pematuhan, punitif dan pemulihan yang tegas secara adil dan saksama terhadap sebarang pelanggaran undang-undang, peraturan dan prosedur kerja atau kod etika kerja.  Bekerjasama dengan agensi penguatkuasa yang berkaitan atau mana-mana pihak lain bagi mengambil tindakan sewajarnya terhadap sebarang bentuk salah laku jenayah yang dilakukan oleh warga organisasi.  Mengambil tindakan pembetulan dan pencegahan dengan segera berdasarkan undang-undang atau peraturan tatatertib terhadap mereka yang terlibat.

Penubuhan JAR-UKM

Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Universiti (MJPU) Bil 9/2019 bertarikh 3 September 2019 telah meluluskan penubuhan Jawatankuasa Antirasuah UKM. Mesyuarat JAR UKM yang pertama telah diadakan pada 3 Mac 2020.

MJPU Bil. 7/2021 bersetuju untuk meluluskan Penubuhan Jawatankuasa Anti Rasuah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) (Semakan Semula 2021) berkuat kuasa pada 1 Jun 202. Ahli Jawatankuasa terkini terdiri daripada pemegang jawatan seperti berikut:

Pengerusi: Naib Canselor

Pengerusi Ganti: Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa)

Ahli-Ahli:

  • Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi)
  • Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar)
  • Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Alumni dan Masyarakat)
  • Pro Naib Canselor (Penjanaan dan Prasarana)
  • Pro Naib Canselor (Kampus Kuala Lumpur)
  • Pro Naib Canselor (Strategi & Pembangunan Korporat)
  • Pendaftar UKM
  • Bendahari UKM
  • Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM)
  • Pengarah Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM (HPKK)
  • Penasihat Undang-Undang UKM
  • Pengerusi Majlis-Majlis Dekan UKM
  • Ketua Unit Audit Dalam UKM
  • Pengarah Pusat Komunikasi Korporat (PKK)
  • Pengarah Bahagian Keselamatan UKM
  • Pengarah Pusat Pengurusan Risiko, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (ROSH-UKM)
  • Ketua Pustakawan UKM
  • Pengarah Prasarana UKM

Urus Setia: Unit Integriti & Ombudsman UKM