Institut Perubahan Iklim UKM Berhasrat Menjadi Pusat Rujukan Antarabangsa

BANGI, 10 Ogos, 2011 – Institut Kajian Perubahan Iklim (IKP), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang ditubuhkan April lalu berhasrat menjadikan Malaysia pusat rujukan antarabangsa mengenai perubahan iklim.

Sejajar dengan ini IKP telah menerima permohonan untuk membantu Universiti Makerere, Kampala, Uganda, menubuhkan sebuah Pusat Pencerapan Bumi di Uganda. Pusat Pencerapan Bumi (EOC) UKM yang terletak di bawah institut ini dan sudah lama beroperasi akan membantu daripada segi kepakaran.

Pengarah pengasas IKP, Prof Dr Sharifah Mastura Syed Abdullah berkata kerjasama itu dijalin berikutan kunjungan Naib Presiden Uganda, Edward Ssekandi ke IKP pada 22 Jun, 2011, lalu. Pakar-pakar bidang dari UKM akan menyumbangkan kepakaran untuk membantu Uganda membangunkan garis panduan dan peraturan untuk menangani impak-impak negatif yang signifikan daripada pembangunan industri petroleum dan petrokimia. Dalam satu tembual dengan Portal Berita UKM, Prof Sharifah Mastura memberitahu, jelas bahawa walaupun baru ditubuhkan, kepakaran IKP mendapat keyakinan, pengiktirafan dan ini memberi suntikan semangat kepada Institut.

Terdapat dua pusat kecemerlangan di bawah IKP, iaitu Pusat Pencerapan Bumi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan,dan Pusat Penyelidikan Sistem Perubahan Iklim Tropika (IKLIM), Fakulti Sains dan Teknologi yang menjalankan penyelidikan berkaitan dengan institut ini.

Mengenai objektif utama IKP, Profesor Dr.Sharifah Mastura menjelaskan, ia akan:

  • menggaris, membina dan meningkat kepakaran dan keupayaan universiti dan negara dalam bidang sains iklim dan perubahan iklim, meteorologi, klimatologi, sains atmosfera dan oseanografi, impak, dan adaptasi, melalui penyelidikan dan keluaran graduan sarjana sains, doktor falsafah dan pasca kedoktoran.
  • menjadi institut penyelidikan inter disiplin dan rentas sempadan dalam menjalankan penyelidikan dan mendidik graduan yang terfokus dalam variabiliti iklim, perubahan eko-sistem dan interaksi antara manusia dengan alam semula jadi.
  • menjadi pusat rujukan dalam dan luar negara bagi pengajaran, penyelidikan dan pembangunan teknologi terkini yang berkaitan dengannya.
  • menjadi pusat depositori data dan pemantauan untuk semua hal-hal yang berkaitan dengan iklim dan perubahan iklim dan sekali gus berupaya menjana pendapatan melalui penyelidikan, perundingan; advokasi dan perundangan.

Dalam temu ramah diadakan di pejabat sementara IKP di EOC, beliau berkata: “EOC mengkaji aplikasi satelit dalam menangani isu persekitaran global manakala IKLIM pula berteraskan kajian permodelan iklim dan oseanografi. Pakar daripada kedua-dua pusat ini akan menjadi teras kepada institut itu.”

Mengenai program akademik pula, Prof. Dr Sharifah Mastura menjelaskan program yang ditawarkan oleh institusi ini adalah program siswazah melalui penyelidikan berkaitan dengan iklim dan perubahan iklim.

Dijangka seramai 78 orang pelajar siswazah peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah akan mendaftar untuk tempoh 2011-2015.

Mengenai Pejabat Institut itu, Prof. Dr. Sharifah berkata ia akan dibina di lokasi yang sudah dikenal pasti, iaitu di Taman Inovasi Teknologi Tenaga Hijau UKM. Pembinaannya masih di peringkat awal projek.

Setakat ini IKP mempunyai seorang Penolong Pendaftar, Pembantu Setiausaha Pejabat; Pembantu Tadbir dan Pembantu Pejabat untuk membantu menggerakkan IKP.

Sejak ditubuhkan IKP telah melaksanakan beberapa projek di bawah Program Khidmat Masyarakat, iaitu Program UKM-UEM Land Sekolah Hijau.

Program ini bertujuan untuk memberi kesedaran kepada murid sekolah rendah tentang kepentingan tindakan mereka sebagai individu dalam masyarakat mengenai isu-isu yang berkaitan dengan perubahan iklim.

Ia berteraskan konsep ROSE, iaitu reduce (mengurangi), offset (memintas), substitute (menggantikan) dan enhance (mempertingkatkan). Konsep ini telah diterjemahkan dalam bentuk yang dapat menarik perhatian murid-murid melalui empat maskot haiwan, iaitu gajah (Gambi), burung kenyalang (Obe), kancil (Napu) dan Penyu (Ton Ton).

Selain itu, pelaksanaan program ini telah menghasilkan beberapa produk untuk murid-murid, antaranya: buku-buku bertajuk “Mari Selamatkan Bumi Kita”, “Asas Perubahan Iklim”, “Folio Hijau” dan “Panduan Seni Bunga Tekan”, selain klip video mengenai Perubahan Iklim, dan juga Lagu Tema “Mari Selamatkan Bumi Kita”.

hasrat1 hasrat2

Satu majlis perasmian Program Sekolah Hijau telah diadakan pada 24 April 2010 di Sekolah Kebangsaan Taman Nusa Perintis 1, Gelang Patah, Johor, yang dirasmikan oleh Naib Canselor UKM, Prof. Tan Sri Dato’ Wira Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin. Majlis ini melibatkan tiga buah sekolah rendah di bawah naungan UEM Land iaitu, Sekolah Kebangsaan Taman Nusa Perintis 1, Sekolah Kebangsaan Tiram Duku dan Sekolah Kebangsaan Taman Nusantara.

hasrat4 hasrat5

Program khidmat masyarakat ini akan diteruskan dengan penglibatan 10 buah lagi sekolah di bawah naungan UEM Land. Satu bengkel bertajuk “Bengkel Pengendalian Aktiviti UKM-UEM Land Program Hijau” telah diadakan pada 21 Mei 2011 di Sekolah Kebangsaan Taman Nusa Perintis 1, Gelang Patah.

Ia bertujuan memberi pendedahan kepada guru-guru mengenai konsep program untuk dilaksanakan bersama murid-murid. Bengkel ini melibatkan semua guru sekolah di bawah naungan UEM Land di Nusajaya, Kota Iskandar, Johor.

Sementara itu, satu program khidmat masyarakat bertajuk “Program UKM-CIMB Green ROSE” juga sedang dijalankan. Program hasil kerjasama di antara UKM dan CIMB Bank Berhad ini bertujuan untuk memberi kesedaran kepada murid sekolah rendah mengenai tindakan mereka sebagai anggota masyarakat untuk mengurangi jejak karbon bagi mengatasi masalah pemanasan global.

hasrat3

Majlis perasmian telah diadakan pada 9 April 2011 dan majlis penutupan dan penyampaian hadiah pada 18 Mei 2011 di Sekolah Kebangsaan Saujana Impian, Kajang.

Ia melibatkan 30 pelajar pra-siswazah Tahun 1 daripada Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM, di samping seramai 200 pelajar sekolah rendah berumur antara sembilan hingga 11 tahun yang menyertai aktiviti ini.

hasrat6 hasrat7