2025 Korea-Malaysia International Joint Seminar On: Beyond 1.5°C
12/10/2025
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Institut Perubahan Iklim (IPI) melaksanakan satu kerjasama antarabangsa penting menerusi penganjuran 2025 Korea–Malaysia International Joint Seminar on “Beyond 1.5°C: Local Actions for Global Impact on Climate Change & GHG Reduction” yang turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara UKM dan Smart Energy Platform (SEP) Cooperative dari Korea Selatan.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Prof. Dr. Jamia Azdina binti Jamal, Pengarah Pusat IDEA UKM yang mewakili Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi UKM, dengan kehadiran delegasi akademia, industri dan agensi kerajaan dari kedua-dua negara. Seminar turut menampilkan ucaptama oleh YBhg. Encik Ahmad Farid bin Mohammed, Setiausaha Bahagian Perubahan Iklim, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) Malaysia, yang menyampaikan tajuk “Malaysia Government Roadmap on GHG Reduction Initiatives”.
Program turut menampilkan tiga sesi perkongsian ilmiah, iaitu oleh Prof. Madya Dr. Zaini Sakawi, Pengarah IPI melalui tajuk “Research and Innovation on GHG Reduction Strategies and Climate Change Mitigation”; Dr. Harrison Lau Lik Nang daripada MPOB berkongsi mengenai “Current Status; GHG Reduction Measures and Best Practise on Sustainable Oil Palm Plantation and Biodiesel Production in Malaysia”; serta Professor Dr. Hyun Dong Hoon dari Tech University Korea dengan tajuk “Biodiesel Production from Palm Tree Sludge and Global GHG Reduction Methodologies”.
Kerjasama strategik dengan SEP Cooperative dijangka membuka peluang penyelidikan bersama, pembangunan teknologi tenaga rendah karbon, pertukaran kepakaran serta pelaksanaan program mobiliti penyelidik dan pelajar, sekali gus menyokong aspirasi karbon neutral 2050 negara serta memperkukuh kedudukan UKM sebagai institusi peneraju penyelidikan perubahan iklim bertaraf global.



