IPI UKM Tingkat Kesedaran Komuniti Nelayan Mengenai Perikanan Lestari

 07/10/2026

Institut Perubahan Iklim (IPI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah mengadakan program kesedaran dan libat urus bersama komuniti nelayan di Kampung Kuala Juru, Pulau Pinang, pada 7 Oktober 2026 bagi meningkatkan pengetahuan masyarakat mengenai kepentingan amalan perikanan lestari, pemuliharaan sumber marin serta adaptasi terhadap perubahan iklim. Program ini dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Perikanan Malaysia.
Program yang dikendalikan oleh Ts. Dr. Noorashikin Md Noor, Pensyarah Kanan IPI UKM, memberi pendedahan kepada komuniti mengenai isu penangkapan ikan berlebihan (overfishing), aktiviti perikanan tidak sah, tidak dilaporkan dan tidak dikawal selia (Illegal, Unreported and Unregulated Fishing – IUU Fishing) serta amalan penangkapan ikan yang boleh merosakkan ekosistem marin.
Melalui sesi perkongsian ilmu ini, komuniti nelayan diberikan penerangan mengenai aktiviti penangkapan ikan secara haram, penggunaan peralatan menangkap ikan yang dilarang serta kesan aktiviti perikanan tidak lestari terhadap stok ikan, biodiversiti marin dan sumber pendapatan nelayan. Penekanan turut diberikan kepada kepentingan mematuhi peraturan perikanan dan peranan komuniti dalam membantu membanteras aktiviti IUU Fishing bagi memastikan sumber perikanan terus terpelihara.
Selain itu, program ini turut memberi perhatian kepada cabaran perubahan iklim yang semakin memberi tekanan kepada komuniti pesisir, khususnya risiko kenaikan aras laut, banjir pesisir dan perubahan keadaan persekitaran yang boleh menjejaskan aktiviti perikanan. Melalui perbincangan kumpulan berfokus (FGD), komuniti nelayan berpeluang berkongsi pengalaman, mengenal pasti cabaran setempat serta membincangkan langkah adaptasi yang bersesuaian bagi mengurangkan kesan perubahan iklim terhadap mata pencarian mereka.
Menurut En. Ali bin Hashim, Ketua Unit Nelayan Kuala Juru, program seumpama ini penting dalam meningkatkan kesedaran komuniti mengenai pemeliharaan sumber perikanan serta persediaan menghadapi cabaran perubahan iklim.
“Program ini membantu kami lebih memahami tentang aktiviti penangkapan ikan secara haram dan kesannya terhadap sumber ikan serta pendapatan nelayan. Pada masa yang sama, kami juga dapat berkongsi masalah yang dihadapi, termasuk perubahan keadaan laut yang memberi kesan kepada aktiviti menangkap ikan. Kami berharap program seperti ini dapat diteruskan supaya nelayan lebih bersedia menghadapi perubahan iklim dan sumber perikanan dapat dijaga bersama,” katanya.
Maklumat dan pandangan yang diperoleh melalui sesi FGD ini turut menyumbang kepada penyelidikan berkaitan impak kenaikan aras laut dan cadangan kaedah adaptasi bagi sektor perikanan di Pulau Pinang. Hasil perbincangan bersama komuniti akan membantu mengenal pasti langkah penyesuaian yang lebih praktikal dan bersesuaian dengan keperluan nelayan setempat.
Program ini mencerminkan komitmen IPI UKM dalam memperluas pendidikan, pemindahan ilmu dan penglibatan komuniti dalam menangani isu kelestarian sumber marin serta perubahan iklim. Inisiatif ini turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 14: Life Below Water, khususnya berkaitan perikanan lestari dan pembanterasan IUU Fishing, serta SDG 13: Climate Action yang menekankan tindakan menangani perubahan iklim dan memperkukuh keupayaan adaptasi komuniti.