IPI UKM SEMAI KESEDARAN IKLIM MELALUI PROGRAM “FROM ANTARCTICA TO CLASSROOM”

 15/10/2026

IPI UKM SEMAI KESEDARAN IKLIM DALAM KALANGAN PELAJAR MENERUSI PROGRAM “FROM ANTARCTICA TO CLASSROOM”

15 Oktober 2026 | SMK Bandar Seri Putra, Selangor Institut Perubahan Iklim (IPI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menjayakan program “From Antarctica to Classroom” di SMK Bandar Seri Putra, Selangor, hari ini bersempena Sambutan Hari Antartika Peringkat Kebangsaan 2026 yang bertemakan “Youth Power, Cooler Future”. Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif jangkauan pendidikan anjuran Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) dengan kerjasama universiti di bawah Smart Partnership Initiative (SPI), yang menyasarkan penglibatan 12 sekolah terpilih di seluruh Malaysia. Sesi perkongsian yang dikendalikan oleh Ts. Dr. Noorashikin Md Noor, Pensyarah IPI UKM, memberi pendedahan kepada 100 pelajar sekolah tingkatan 4 mengenai keunikan Antartika, kepentingannya dalam sistem iklim global, kesan pencairan ais terhadap peningkatan aras laut serta hubung kait perubahan iklim di Antartika dengan Malaysia. Program ini turut menampilkan aktiviti pembelajaran secara praktikal (hands-on), permainan interaktif, kuiz perubahan iklim serta aktiviti Sustainability and Climate Action Mission (SCAM) @UKM, sebuah inisiatif di bawah Pusat Pengurusan Alam Sekitar, IPI UKM. Aktiviti ini menggalakkan pelajar berfikir secara kritis, bekerjasama dan mengenal pasti tindakan mudah yang boleh diamalkan bagi mengurangkan impak terhadap alam sekitar. Melalui pendekatan pembelajaran yang menyeronokkan dan interaktif, pelajar bukan sahaja memperoleh pengetahuan mengenai sains Antartika, malah didorong untuk menjadi agen perubahan dalam memupuk budaya kelestarian di sekolah dan komuniti. Pelaksanaan program ini mencerminkan komitmen IPI UKM dalam memperkukuh pendidikan kelestarian, meningkatkan literasi iklim serta memupuk budaya tindakan iklim dalam kalangan generasi muda melalui pendekatan pembelajaran yang interaktif dan berasaskan pengalaman. Inisiatif ini diharap dapat menyemai kesedaran bahawa usaha menangani perubahan iklim bukan sahaja memerlukan pengetahuan, malah tindakan bersama yang bermula daripada amalan seharian. Program ini juga merupakan sebahagian daripada pengisian menjelang Sambutan Hari Antartika Peringkat Kebangsaan pada 1 Disember 2026, yang memperingati penandatanganan Antarctic Treaty pada tahun 1959. Selaras dengan tema “Youth Power, Cooler Future”, program ini membawa mesej bahawa walaupun Antartika terletak ribuan kilometer dari Malaysia, masa depan bumi merupakan tanggungjawab bersama, dan setiap tindakan kecil hari ini mampu membawa perubahan besar untuk generasi akan datang. 🌏 From Antarctica to Classroom, From Awareness to Action! 🌱 Small Actions, Big Impact! #AntarcticDay2026 #FromAntarcticaToClassroom #YouthPowerCoolerFuture #IPIUKM #UKM #YPASM #EMCIPIUKM #SCAMUKM #SustainabilityAndClimateAction #ClimateEducation #ClimateAction #SDG4 #SDG13