1,182 Pelajar UKM Pulang ke Kampung Secara Berperingkat


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 23 Julai 2021 – Seramai 1,182 pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang berada di kampus sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) mula pulang ke kampung halaman masing-masing selepas tamat peperiksaan akhir semester 2 bagi sesi akademik 2020/2021.

Pergerakan pulang ke kampung di seluruh negara dibuat secara berperingkat oleh Pusat Hal Ehwal Pelajar (HEP) dengan menggunakan bas universiti.

Pihak HEP UKM menjangkakan tiga peringkat pergerakan akan dilakukan dengan pergerakan pertama adalah pada 22 Julai 2021 iaitu perjalanan ke Perak dan Kelantan, diikuti peringkat ke dua pada minggu hadapan dan minggu pertama bulan Ogos adalah peringkat terakhir.

Selain itu, HEP juga mengurus penghantaran pelajar-pelajar Sabah dan Sarawak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan turut menguruskan ujian calitan (swab test) kepada mereka sebelum menaiki kapal terbang.