1200 Sukarelawan UKM Turun Padang Bantu Mangsa Banjir


Oleh Murniati Abu Karim
Foto Izwan Azman

BANGI, 21 Disember 2021 – Lebih 1200 sukarelawan yang terdiri daripada pelajar dan kakitangan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) digerakkan ke lokasi banjir di kawasan Selangor bagi membantu mangsa yang terkesan dengan bencana itu.

Naib Canselor UKM Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata inisiatif mengumpulkan sukarelawan bagi misi banjir ini berlaku secara pantas sejurus bencana berlaku, hasil usaha pihak Hal Ehwal Pelajar dan pendaftar universiti melalui media sosial.

Menurutnya, sukarelawan ini berperanan membantu membersihkan kawasan rumah mangsa terutama sekali penuntut dan kakitangan universiti yang terjejas akibat banjir.

Beliau berkata UKM telah mengenal pasti sebanyak 67 keluarga kakitangan serta seramai 1177 orang pelajar yang terkesan daripada bencana banjir kali ini.

“Pada petang semalam, enam buah bas yang memuatkan seramai 120 orang sukarelawan telah digerakkan ke beberapa lokasi banjir di kawasan Bangi Lama dan Hulu Langat.

“InsyaAllah, kita akan terus mengembleng tenaga sukarelawan di lokasi berbeza untuk menyantuni seramai mungkin mangsa banjir dalam kalangan pelajar, kakitangan serta masyarakat setempat,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Ekhwan berkata antara inisiatif awal yang diambil oleh pihak universiti termasuklah menyediakan penempatan sementara bagi keluarga kakitangan yang terlibat.

“Pihak UKM sedia membuka pintu unit kediaman kami di kawasan Bangi dan Kuala Lumpur serta Kolej Kediaman yang kosong bagi menempatkan mangsa banjir yang terdiri daripada kakitangan universiti yang memerlukan.

“Selain itu, pihak universiti juga memberi perlepasan kepada pelajar bagi menangguhkan kelas dan kerja makmal selama seminggu untuk mereka membantu keluarga membersihkan kawasan yang terjejas.

“Zakat UKM turut menyalurkan sumbangan berupakan barangan keperluan harian dan kewangan kepada kakitangan yang terkesan dengan bencana ini. Selain itu, kita juga menerima sumbangan peribadi daripada alumni universiti yang bermurah hati untuk meringankan beban mangsa.

“Pihak universiti juga tidak melupakan pelajar yang berada di lokasi banjir luar negeri dan universiti awam yang berhampiran telah membantu UKM untuk mengenal pasti pelajar kita yang terjejas”, katanya.

Menurut Mohd Ekhwan, UKM sememangnya merupakan universiti rakyat.

“Menyedari jumlah hujan yang turun kali ini agak luar biasa sehingga mendatangkan bencana yang dasyat, semua pihak di UKM bersatu hati untuk menawarkan bantuan secepat mungkin.

“Inilah konsep keserakanan yang selalu diterapkan dalam warga universiti, sentiasa bersedia untuk berbakti kepada masyarakat,” katanya.

Tambahnya, sukarelawan yang turun membantu mangsa banjir diberi taklimat terlebih dahulu dalam memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi sepanjang masa bagi mengekang penularan Covid-19.