14 Pelajar PERMATApintar Terpilih Sertai PERMATA-UKM Science Institute di London

Oleh Asmahanim Amir

BANGI, 6 Jun 2017 – Seramai 14 Pelajar PERMATApintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersama tiga guru pengiring telah terpilih menyertai PERMATA-UKM Science Institute di London baru-baru ini.

14 pelajar itu terdiri daripada lapan pelajar Kolej PERMATApintar dan enam ASASIpintar.

Menurut Pengarah Pusat PERMATApintar Negara UKM, Prof Datuk Dr Noriah Mohd Ishak, PERMATA-UKM Science Institute adalah Program Minda Nobel yang merupakan inisiatif PERMATApintar UKM untuk membantu pelajar pintar dan berbakat memupuk minda sebagai seorang pemenang anugerah nobel pada masa akan datang.

“Program Minda Nobel meliputi dua bahagian iaitu Bengkel Minda Nobel Peringkat Kebangsaan dan PERMATA-UKM Science Institute.

“Program Minda Nobel dilaksanakan terlebih dahulu di dalam negara, peringkat kebangsaan dan hasil daripada program berkenaan peserta yang terpilih akan mengikuti program PERMATA-UKM Science Institute yang diadakan di luar negara,” katanya.

Beliau berkata program PERMATA-UKM Science Institute dimulakan pada tahun 2012 bersama New York Academy of Science, kemudian bersama Royal Society , London, University of Cambridge dan Oxford University pada tahun 2016.

“Kerjasama itu membolehkan PERMATApintar menjalankan aktiviti Minda Nobel di Royal Society, London dan beberapa universiti terkemuka di London,” terangnya.

Prof Datuk Dr Noriah berkata antara objektif program adalah memberi peluang kepada peserta bertemu dan bersemuka dengan pemenang anugerah nobel yang ada di Royal Society, peserta dapat berbincang tentang penyelidikan bertaraf dunia yang telah dijalankan oleh pemenang anugerah nobel dan melihat makmal yang mempunyai ciri-ciri “cutting edge” dalam bidang STEM untuk memberi inspirasi kepada peserta menceburi bidang STEM.

“Sepanjang 10 hari program itu diadakan, kita telah membawa peserta melawat ke beberapa tempat menarik seperti Muzium Sains, University of Cambridge, Muzium Sejarah Kebangsaan, University of Oxford dan lawatan di sekitar bandaraya London,” katanya.

Katanya, beliau berharap agar lawatan itu akan menjadi asas kepada kerjasama antara UKM, Pusat PERMATApintar Negara, Fakulti Sains & Teknologi UKM dengan semua organisasi yang terlibat dengan program PERMATA-UKM Science Institute di London iaitu Royal Society, Cambridge University, Oxford University dan University of Collage London.

“Saya juga berharap program ini boleh diteruskan dan dijalankan pada tahun-tahun yang akan datang,” katanya.

Bengkel Minda Nobel dan Program PERMATA-UKM Science Institute turut dihadiri oleh Penaung PERMATA, Datin Seri Rosmah Mansor.

Program tersebut dijalankan setiap dua tahun sekali.