14 Pelajar Terima Penghargaan Di Majlis Anugerah Seni UKM 2015

Oleh Nasrullah Uul (Pelajar Pelatih UKM)
Foto Ikhwan Hashim

14 Students Honoured At Performing Arts Award NightBANGI, 7 Mac 2015 – Seramai 14 orang mahasiswa Universiti Kebangsaaan Malaysia (UKM) telah diberi penghargaan kerana kegiatan mereka dalam pelbagai aktiviti seni dalam suatu Majlis Anugerah Seni UKM 2015 di sini malam kelmarin.

Anugerah itu diadakan untuk 17 kategori yang dipertandingkan sebagai penghargaan UKM kepada seluruh pegiat seni di antara pelajarnya.

Hadiah-hadiah berupa piala, sijil penghargaan dan wang tunai untuk penerima anugerah utama telah disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat) Prof Dr Imran Ho Abdullah, di Panggung Seni di sini.

Program kesenian adalah satu langkah UKM untuk membina mahasiswa yang kreatif, berwawasan dan dinamik dengan mendedahkan mereka kepada pelbagai aktiviti kesenian yang diadakan di luar dan dalam kampus.

Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali memperuntukkan Mencipta Sumber Manusia dan Institusi Cemerlang sebagai ‘Key Results Area’ atau KRA 4 dalam hal demikian.

Anugerah Seni Mahasiswi dimenangi oleh Ainur Syakirah binti Muhd Hissam dari Kumpulan Pantun Sanggar Mestika di Kolej Keris Mas manakala Anugerah Seni Mahasiswa dirangkul oleh Mohamad Safwan bin Abd Wahab dari Kumpulan Seni Tari Aadyamatraa daripada Kolej Ungku Umar.

Selain penyampaian anugerah, hadirin turut dihiburkan dengan persembahan tarian, nyanyian, teater dan beberapa persembahan seni lain di bawah naungan Artisukma UKM.

Malam Anugerah anjuran Pusat Kebudayaan, Jabatan Perkhidmatan Pelajar itu adalah acara tahunan dianjurkan untuk menghargai jasa dan sumbangan pelajar yang mencurahkan bakti dalam program kesenian selain memberi peluang mengasah bakat dikalangan mereka lantas menaikkan imej dan mengharumkan nama UKM.

Ia juga sebagai usaha memberi dorongan dan galakan agar warga kampus akan bergiat lebih aktif dalam setiap program kesenian di dalam dan di luar kampus selain memupuk perpaduan di kalangan masyarakat kampus.

Pemenang Anugerah Seni Mahasiswa, Mohamad Safwan bergiat dalam seni tari sejak tahun satu dalam bidang tarian Melayu dan kontemporari.

Safwan berkata beliau sentiasa memberi tumpuan kepada pelajarannya dan bergiat dalam seni untuk mengisi masa lapang. Selain bijak membahagikan masa beliau juga sentiasa bekerjasama rapat dengan rakan-rakan sepengajian untuk mengulangkaji pembelajarannya.

“Seni adalah sebahagian dari hidup kerana tanpa seni hidup terasa hampa dan tidak berwarna” katanya dengan harapan lebih ramai pelajar akan melibatkan diri dalam kegiatan seni untuk mengekalkan budaya bangsa serta mengharumkan nama  UKM.

Pemenang Anugerah Seni Mahasiswi, Ainur Syakirah berkata penglibatannya dalam Artisukma tidak mengganggu waktu belajarnya malah kegiatannya dibidang seni memberikan motivasi untuk lebih tekun belajar.

Kegiatan dalam seni adalah suatu usaha yang memberi makna kepada kehidupan sambil membuka ruang terhadap banyak hal-hal baru kepadanya selain menambahkan jaringan pertemanan di luar maupun dalam kampus, tambah beliau.

Sekalipun beliau tidak dapat meneruskan karier dalam bidang seni apabila lulus nanti, ia telah memberikan peluang kepadanya untuk menimba kemahiran dalam kegiatn seni selain mendapat pengalaman berharga yang beliau perolehi dalam Artisukma.

Berikut adalah senarai penuh penerima Anugerah pada Malam Anugerah Seni UKM 2015:

Anugerah Penerbitan Seni – Mohd Shahrul Fizree  – Pesta Pantun Integrasi Budaya IPT 2014 Kolej Ibu Zain
Anugerah Seni Video – Farhili Ismail – 15th Aun 4th Asean+ 3 educational & young speakers contest.
Anugerah Seni Beladiri – Nur Zuleikha Binti Baha – Persatuan Seni Silat Gayong Malaysia
Anugerah Pengurusan Seni – Nor Syuhada Binti Mohd Azam – Kumpulan Pengurusan Seni, Artisukma
Anugerah Pengurusan Teknikal – Muhammad Khairul Nizam  Bin Sjahruddin – Kumpulan Pengurusan Teknikal, Artisukma
Anugerah Tradisi Lisan– Ainur Syakirah Binti Ahmad Tarmizi – Kumpulan Pantun Sanggar Mestika
Anugerah Seni Tari – Mohamad Safwan Bin Abd Wahab – Kumpulan Aadyamatraa
Anugerah Seni Teater – Mohd Azman Bin Kholid – Kumpulan Teater Rimba, Artisukma
Anugerah Seni Muzik– Nur Fitrianti Misheila – Kumpulan Muzik Moden, Artisukma
Anugerah Seni Vokal – Fadhi Hariz Bin Fayahet – Kumpulan Nasyid Firasat Insar, Artisukma
Anugerah Kolej Teraktif  – Kolej Keris Mas
Anugerah Kumpulan/Kelab Teraktif – Kumpulan Teater Artisukma
Anugerah Penggiat Seni kampus – Mazlan Bin Harun
Anugerah Kreativiti Seni – Kolej Ibu Zain – Pesta Pantun Integrasi Budaya

Piala Bintara Seni Naib Canselor –

Anugerah Seni Mahasiswi – Ainur Syakirah Binti Muhd Hissam
Anugerah Seni Mahasiswa – Mohamad Safwan Bin Abd Wahab
ukmnewsportal-bm