16 Mei Tarikh Keramat Tiang Seri Negara – Naib Canselor


Oleh Ummu Umairah Ahmad Shukri
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 18 Mei 2018 – Tarikh 16 Mei, adalah tarikh keramat yang menjadi tiang seri negara dalam menghargai jasa dan bakti guru dalam konteks pembinaan negara bangsa dan membina diri seseorang individu, kata Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali.

Beliau berkata, peranan guru menjadi ikon masyarakat serta berperanan menjadi warganegara yang menonjolkan keperibadian yang tinggi, berilmu serta mempunyai etika dan nilai yang baik harus dipuji.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di Majlis Sambutan Hari Guru dan Pelancaran Governans Baharu Fakulti Pendidikan (FPEND) UKM, di Dewan Budiman, baru-baru ini.

Pelancaran Governans Baharu FPEND bertujuan untuk meningkatkan lagi sistem pendidikan dan pentadbiran fakulti tersebut.

Pelajar tahun tiga mantan Yang di-Pertua FPEND, Mohamad Fitri Tordin berkata, pembaharuan dalam barisan governan fakulti itu memerlukan kerjasama daripada tenaga pakar fakulti bagi memastikan penglibatan secara holistik selari dengan Revolusi 4.0.

Pelancaran Governans Baharu telah memperkenalkan tulang belakang FPEND iaitu Dekan, Prof. Dato’ Dr Norazah Mohd Nordin, barisan Timbalan Dekan, penolong-penolong serta pengerusi-pengerusi pusat bagi fakulti berkenaan.

Pada majlis itu juga, FPEND turut menghargai pensyarah-pensyarah yang telah memberi perkhidmatan cemerlang melalui pemberian Anugerah Kecemerlangan Penerbitan Fakulti Pendidikan.

Hadir sama di majlis tersebut, Timbalan Canselor (TNC) (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) , Prof Dato’ Ir Dr Mohd. Marzuki Mustafa dan TNC (Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat), Prof Dato’ Dr Imran Ho Abdullah.