1,845 pelajar Baharu Pascasiswazah Daftar di UKM


Oleh Siti Lailatul Mastura
Foto Izwan Azman

BANGI, 30 September 2019 – Seramai 1,845 pelajar baharu telah mendaftar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi melanjutkan pengajian ke peringkat pascasiswazah dalam pelbagai bidang.

Sesi pendaftaran yang diadakan di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (Dectar) itu turut menerima kehadiran pelajar dari luar negara seperti Jordan, Thailand dan Bangladesh.

Semasa proses pendaftaran, pelajar-pelajar tersebut turut diberi maklumat penting berkaitan UKM dan pembelajaran yang akan dilalui sepanjang pengajian melalui program Hari Informasi Pascasiswazah (HIP).

Sepanjang program HIP, pelajar-pelajar baharu diberi informasi tentang beberapa perkara penting seperti Peraturan UKM dan Peranan Pusat Pengurusan Akademik (Akademik UKM).

Naib Canselor, Prof Ir Dr Mohd. Hamdi Abd Shukor dalam ucapannya menumpukan kepada nilai UKM iaitu keserakanan, akauntabiliti, merit, inovatif dan integriti (KAMII).

“Nilai UKM inilah (KAMII) yang akan menjadi kayu ukur kepada UKM untuk mencapai matlamat dan sasaran yang ingin dicapai,” katanya.

Sementara itu, Hanis Yasmin, graduan jurusan Undang-Undang Syariah dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berkata, belaiu meneruskan hasrat menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi kerana ingin mengejar impiannya untuk menjadi pensyararah suatu hari nanti.

“UKM menjadi pilihan saya sejak dulu lagi untuk melanjutkan pengajian sarjana,” katanya.

Manakala, Md Muniruzzaman pelajar dari Bangladesh berkata, budaya sosialis dan persekitaran UKM yang sama dengan Bangladesh menjadi pilihannya melanjutkan pengajian Ijazah Doktor Falsafah disini.