2 Penerbitan UKM Terima Anugerah Prestij


Oleh Radzuan Ghazali
Foto Ahmad Shahidan Saidi

Dua penerbitan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terbitan Penerbit UKM dipilih menerima Anugerah Berprestij sempena Anugerah Majlis Penerbitan Ilmiah (MPIM) – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) 2018 dalam satu majlis yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di Putrajaya pada 27 Jun 2019 baru-baru ini.

Dua anugerah tersebut ialah untuk  Anugerah Utama Kategori Sains, Teknologi dan Perubatan bagi Karya Suntingan Terbaik yang disandang oleh buku berjudul Teknologi Semikondoktur dan Nanoelektrik Perkembangan dan Terkini hasil suntingan Prof Dato’ Dr Burhanuddin Yeop Majlis dan Anugerah Utama Ketegori Sains, Teknologi dan Perubatan berjudul MHD Stagnation-Point Flow Over a Stretching/Shrinking Sheet in a Micropolar Fluid with a Slip Boundary tulisan Anuar Mohd Ishak, Siti Khuzaimah Soid dan Ioan Pop yang diterbitkan dalam jurnal Sains Malaysiana.

Kedua-dua anugerah berkenaan menerima hadiah wang tunai RM3,500, piala dan sijil penghargaan yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Teoh Nie Ching.  Hadir sama, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, KPM, Datin Paduka Ir Dr Siti Hamisah Mohd Tapsir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana MAPIM, Prof Ir Dato’ Dr Abdul Wahab Mohammad, Pengerusi Jawatankuasa Pemilih Anugerah, Prof Dr Kamal Halili Hassan dan Pengerusi Jawatankuasa Majlis Penyampaian Anugerah, Prof Madya Dr Jane Labadin.

Sebanyak 21 anugerah yang dibahagikan kepada 7 kategori disampaikan kepada para pemenang dalam majlis tersebut.  Antaranya ialah kategori Buku Ilmiah Umum Terbaik, Buku Ilmiah Terbaik, Karya Suntingan Terbaik, Editor Nashkah Terbaik, Makalah Jurnal Terbaik dan Anugerah Reka Bentuk Buku Terbaik.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teoh Nie Ching dalam ucapannya berkata, anugerah yang diberikan adalah pngiktirafan kepada penulisan dan dunia ilmiah tetapi juga kepada proses transformasi masyarakat dan kemajuan bangsa serta negara.

Katanya, usaha yang dilakukan oleh MAPIM disanjung tinggi dalam pengukuhan penerbitan ilmiah malah melambangkan daya pemikiraan masyarakat dalam sesebuah negara justeru itu KPM memberikan galakan dan bantuan kepada MAPIM bagi menjayakan usaha ini.

“Saya yakin anugerah yang diterima dapat meningkatkan daya saing di kalangan anggota MAPIM bagi menghasilkan bahan penulisan yang berkualiti”.  Ia juga memberikan pengiktirafan dan penghargaan kepada karyawan atas usaha yang cemerlang dalam penerbitan ilmiah dan seterusnya mendorong, merangsang serta menggalak ahli akademik dan penerbit untuk terus menyumbang ilmu menerusi penerbitan ilmiah , ujar beliau.