2 Pensyarah UKM Terima Geran Penyelidikan COVID-19

Oleh Asmahanim Amir

Foto Ikhwan Hashim, Izwan Azman

BANGI, 30 Nov 2020 – Dua pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), masing-masing dari Fakulti Pergigian dan Fakulti Undang-Undang menerima geran penyelidikan daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bernilai RM36,820.

Prof. Madya Dr. Tuti Ningseh Mohd Dom dari Fakulti Pergigian menerima geran penyelidikan berjumlah RM16,820 bagi menjalankan penyelidikan bertajuk Tanggapan Fakulti Pergigian Malaysia terhadap Garis Panduan Praktikal semasa penularan Wabak Covid-19 dan Harapan Menuju “Pergigian Baharu”.

Beliau berkata kajian tersebut akan meneroka tindak balas dari 13 Fakulti Pergigian di Malaysia terhadap penularan virus COVID-19, persepsi warga fakulti terhadap pelaksanaan garis panduan yang ada, dan harapan mereka mengenai bagaimana norma baharu pergigian akan mempengaruhi pendidikan dan latihan pergigian.

“Penemuan dari kajian ini akan mengesyorkan polisi untuk menangani kesan wabak penyakit berjangkit pada latihan klinikal pergigian, keselamatan pesakit dan klinik, kos dan keperluan klinikal rawatan pergigian dalam konteks mengekalkan kualiti pendidikan pergigian sewaktu penularan wabak COVID-19,” katanya.

Beliau berkata kajian tersebut dilakukan kerana melihat kepada petugas kesihatan (pergigian) yang terdedah dengan pesakit secara dekat tanpa boleh mengikiti SOP penjarakan fizikal.

“Semasa rawatan pergigian, pasukan pergigian terdedah dengan sejumlah besar splatters dan aerosol yang dihasilkan semasa prosedur pergigian, menjadikan mereka mempunyai risiko besar untuk dijangkiti dan seterusnya menyebarkan penyakit berjangkit, termasuk COVID-19.

“Kaedah pencegahan tidak hanya meliputi penggunaan Peralatan Pelindung Diri (PPE) tetapi langkah-langkah untuk mengurangkan penghasilan aerosol. Pelbagai agensi pergigian dan persatuan profesional telah mengeluarkan garis panduan dan protokol keselamatan untuk memastikan bahawa penularan virus tidak berlaku semasa pertemuan di klinik pergigian,” katanya.

Walau bagaimanapun, katanya, protokol itu tidak memenuhi keperluan di klinik pergigian universiti iaitu susun atur memenuhi keperluan latihan ratusan pelajar pergigian di satu-satu premis.

“Kos operasi pendidikan dan latihan pergigian juga dijangka meningkat dengan ketara kerana sekitar 60 peratus aktiviti pengajaran dan pembelajaran berlaku semasa interaksi klinikal. Jadi, kita jalankan kajian ini bagi melihat apakah keperluan yang diperlukan oleh fakulti pergigian dalam tempoh pandemik ini,” katanya.

Kajian tersebut turut dibantu oleh penyelidik bersama iaitu Dr. Yew Hsu Zenn dan Dr. Haslina Rani.

Sementara itu, Prof. Datin Dr. Faridah Jalil yang menjalankan kajian bertajuk Pindaan kepada Akta Pencagahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) sejajar hak asasi manusia dalam kedaulatan undang-undang menerima geran berjumlah RM20,000.

Walaupun Akta 342 yang telah berusia 32 tahun mempunyai ciri-ciri utama prinsip perundangan, namun kata Prof. Datin Dr. Faridah, disebabkan perubahan masa, berlaku kesenjangan dalam piawaian kesihatan yang digunakan, risiko ancaman penyakit yang berbeza, kesedaran mengenai hak asasi yang semakin meningkat dan method saintifik pengawalan penyakit.

“Keadaan ini menjadikan undang-undang berkaitan sebagai ketinggalan zaman dan perlu diperbaharui,” katanya.

Beliau berkata prinsip perundangan itu telah diikat dengan jaminan Perlembagaan mengenai hak asasi manusia dan urus tadbir baik, terutamanya mengenai Perkara 5, 8, 9, 10 dan 11 Perlembagaan Persekutuan supaya akta tersebut dilihat menepati prinsip kedaulatan undang-undang dan ketertinggian Perlembagaan.

“Jadi, akta itu perlu disemak dan diperbaharui supaya sesuai dengan keadaan dan cabaran semasa mengenai pencegahan dan kawalan penyakit.

“Perundangan baharu tanpa mengira topik, jika digunakan untuk tujuan menangani keadaan cemas perlu lengkap dan bersifat rujukan setempat, yang bermaksud semua aspek yang perlu ditangani boleh diperolehi dalam satu dokumen,” ujarnya.

Kajian itu turut dibantu oleh Dr Norhafilah Musa dan PM Dr Rasyikah Md Khalid.