200 Pesakit di HCTM diraikan dalam Program Bingkisan Aidilfitri HCTM


Oleh Hafizah Mohamad Isa

CHERAS, 12 Jun 2018 – Seramai 200 pesakit di Wad Warga, Wad Peadiatrik, Wad Perubatan, Wad Surgeri dan Wad Ortopedik, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Kampus Kuala Lumpur UKM telah diraikan dalam Program Bingkisan Aidilfitri HCTM baru-baru ini.

Dalam program itu, pesakit-pesakit telah menerima sumbangan kuih raya, mainan kanak-kanak, botol air dan wang tunai yang disumbangkan oleh HCTM, Jabatan Bendahari Kampus Kuala Lumpur, Ronald McDonald House Charities Malaysia (RMHC) dan Gloria Jeans Coffee.

Program tersebut bertambah meriah dan ceria apabila para pesakit terutamanya di Wad Peadiatrik telah dihiburkan oleh badut Ronald McDonald dengan aksi lucu yang bersahaja.

Program itu adalah inisiatif Pengarah dan Pengurusan HCTM bersempena sambutan bulan Ramadhan Al-Mubarak dan Hari Raya Aidilfitri.

Program Bingkisan Aidilfitri HCTM tersebut telah disempurnakan oleh Pro Naib Canselor (Kampus Kuala Lumpur) UKM, Prof Datuk Dr A Rahman A. Jamal.

Turut hadir ialah Pengarah HCTM, Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Timbalan Pengarah Eksekutif Kewangan, Norini Mohamed, Pengerusi RMH/PPUKM, Azahri Abd Taharim dan Pengurus Besar RMHC Malaysia, Mohd. Nasri Nordin.