25 Subjek Di UKM Berada Dalam Kelompok Terbaik Dunia


Oleh Asmahanim Amir

BANGI, 12 April 2022 – Sebanyak 25 subjek yang ditawarkan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berada di kelompok terbaik di dunia melalui penarafan QS World University Rankings by Subject 2022 yang diumumkan baru-baru ini.

Tiga daripada subjek itu iaitu English Language & Literature, Chemical Engineering dan Civil Engineering berada pada kedudukan 150 terbaik manakala tiga subjek lagi iaitu Mechanical Engineering, Materials Science dan Law telah meningkat satu sela berbanding tahun lepas.

Kedudukan UKM dalam kesemua lima bidang utama iaitu Arts & Humanities, Engineering & Technology, Life Sciences & Medicine, Natural Sciences dan Social Sciences & Management telah meningkat dengan cemerlang.

Menurut Naib Canselor, Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman, sebagai sebuah universiti watan, UKM berpegang teguh pada status universitinya yang komprehensif dengan mempunyai kedudukan dalam kesemua subjek umum, dan menjadi yang terbaik dalam bidang Kejuruteraan & Teknologi serta menunjukkan fokus sejajar dengan Rancangan Pendidikan Malaysia yang menekankan pada sains, teknologi dan Revolusi Industri 4.0.

“Usaha yang lebih strategik dan terfokus akan terus dilaksana untuk meningkatkan subjek ke tahap yang lebih baik.

“UKM juga akan meningkatkan lagi usaha bagi kecemerlangan Research dan Citations di samping keterserlahan di peringkat global,” katanya.

Beliau berkata antara strategi utama untuk tahun 2022 adalah berdasarkan strategi yang telah dipetakan dalam Pelan Strategik T.E.R.A.S UKM 2021-2025, namun demikian, strategi lain yang berkaitan dan relevan masih diteruskan.

“Kita akan tingkatkan penerbitan berkualiti dalam Q1-Q4, memperkasakan penerbitan dalam jurnal berimpak tinggi dan secara langsung menjadi rujukan kepada para penyelidik antarabangsa yang lain.

“Ini secara tidak langsung akan menyumbang dalam indikator yang diketengahkan dalam QS World University Rankings,” katanya.

Selain itu, beliau berkata beberapa strategi jangka panjang juga telah dirancang, antaranya menggalakkan sistem pementoran tokoh-tokoh akademik UKM bersama tenaga akademik muda dalam meningkatkan keilmuan serta keterserlahan bakat dan kepakaran.

“UKM sememangnya percaya bahawa penyelidik muda perlu sentiasa diperkasakan serta diberi peluang yang secukupnya untuk mengembangkan bakat dan potensi mereka.

“Ada banyak lagi strategi lain yang telah dirancang dan dilaksanakan di UKM dalam mencapai sasaran universiti ke arah menjadikan UKM antara universiti terbaik dunia,” katanya.

QS WUR by Subject 2022 telah diumumkan baru-baru ini dengan penilaian dibuat berdasarkan empat kriteria iaitu Academic Reputation, Employer Reputation, Citation per Paper dan H-Index.