29 Pelajar FEP Terima Bantuan Komputer Riba Berjumlah RM66,700


Oleh Nur Batrisyia
Foto Izwan Azman

BANGI, 7 Mei 2021 – Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah memberi bantuan komputer riba yang berjumlah RM66,700 kepada 29 orang pelajar bagi golongan B40.

Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Alumni dan Masyarakat, Prof. Dato’ Dr. Imran Ho Abdullah berkata UKM sentiasa berusaha menambah baik proses pendidikan dan pembelajaran walaupun semasa pandemik Covid-19.

“UKM mengambil berat situasi semua pelajar dan telah mengambil inisiatif untuk membantu pelajar yang memerlukan bantuan dari segi kewangan dan kemudahan pembelajaran,” katanya pada Majlis Pelancaran Platform Khidmat Budi FEP UKM dan Penyampaian Sumbangan Komputer Riba kepada Pelajar B40, yang diadakan secara dalam talian, semalam.

Tambahnya, menerusi Pusat Zakat UKM, 31 jenis bantuan telah disediakan seperti bantuan umum pelajaran, bantuan komputer riba, bantuan sokongan pengajian, sumbangan musibah, bantuan perubatan dan insentif kecemerlangan untuk pelajar-pelajar cemerlang.

“Sehingga hari ini, untuk pelajar di FEP sahaja Pusat Zakat UKM telah menyalurkan agihan sebanyak RM513,879 menerusi beberapa jenis bantuan tersebut.

“Secara spesifik, sebanyak RM406,079 telah disalurkan bagi Bantuan Umum Pelajaran. Wang tersebut digunakan oleh pelajar untuk kos bayaran yuran dan juga kos saraan diri mereka sepanjang di kampus,” katanya.

“Sebanyak RM4,500 juga telah disalurkan kepada empat orang pelajar fakulti ini yang telah mengalami musibah dan seramai 183 orang pelajar pula telah menerima insentif kecemerlangan yang berjumlah RM36,600,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata platform Khidmat Budi FEP UKM menjadi perantara antara pihak alumni, masyarakat/komuniti serta industri yang menyumbang khidmat dan budi kepada fakulti secara khususnya dan UKM secara amnya.

“Tahniah dan syabas kepada UKM kerana ini merupakan satu inisiatif yang membanggakan dari hasil usaha institusi pengajian tinggi awam berganding bahu untuk bersama menyumbang bakti dan budi di saat negara berdepan dengan masa getir akibat pandemik.

“Usaha murni ini perlu diteruskan terutamanya bagi membantu pelajar-pelajar B40 seperti sumbangan berupa komputer riba kepada pelajar b40 oleh pihak PPZ – MAIWP pada hari ini,” katanya.

Katanya walaupun setiap permohonan masih perlu mematuhi prosedur yang ditetapkan, terdapat kes yang perlu disegerakan.

“Oleh itu, kita perlu menangani dengan berhemah dan memudahkan urusan penyampaian bantuan,” katanya.

Daripada 29 pelajar yang menerima komputer riba pada majlis itu 10 daripadanya adalah hasil sumbangan PPZ-MAIWP.

Sementara itu, Prof. Dr. Aini Aman, Dekan FEP berkata Platform Khidmat Budi seliaan di bawah Sekretariat Jaringan dan Alumni FEP ini merupakan satu wadah perantara untuk pihak industri, alumni dan komuniti dalam menyumbang khidmat dan budi kepada FEP dan UKM.

“Terdapat empat aspek yang menjadi fokus dalam platform Khidmat Budi ini iaitu Sistem Pendidikan, Komuniti Sosial, Kesihatan dan Kesejahteraan, serta Kestabilan Ekonomi,” katanya.